Jamawi (kiri) bersama Louis dan yang lain melihat jentera penanam jagung itu.
KOTA MARUDU: Tanaman jagung bijirin berpotensi besar untuk dibangunkan secara komersial di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan yang mencecah kira-kira RM800 juta setahun.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran jagung bijirin di negeri ini masih rendah, iaitu sekitar dua peratus sahaja.
“Ini bermakna Sabah hanya mengeluarkan sekitar dua peratus keperluan makanan ternakan ayam dan haiwan lain, sedangkan selebihnya kita masih bergantung kepada import,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Ladang Projek Penanaman Jagung Bijirin di Kampung Masolog, Kota Marudu, hari ini.
Jamawi berkata, projek yang diusahakan oleh EMAT Sdn Bhd bersama Koperasi Tanjung Kelamat itu kini memasuki musim kedua penanaman dengan penggunaan sistem mekanisasi sepenuhnya.
Katanya, pada musim pertama, hasil pengeluaran mencecah kira-kira lima tan sehektar, manakala potensi sebenar tanaman itu boleh mencapai antara lapan hingga sembilan tan sehektar jika amalan pertanian baik dilaksanakan.
“Dengan harga pasaran sekitar RM1,400 setan dan kos pengeluaran kira-kira RM800 setan melalui mekanisasi, tanaman ini mempunyai margin keuntungan yang baik untuk diusahakan secara komersial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian menyediakan insentif sebanyak RM5 juta tahun ini bagi membantu pengusaha yang berminat menceburi tanaman jagung bijirin.
Katanya, kementerian juga menyediakan khidmat nasihat serta kepakaran teknikal melalui Jabatan Pertanian bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jamawi mengendalikan jentera penanam jagung itu.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, pihaknya turut meminta Korporasi Pembangunan Desa (KPD) meneruskan semula projek tanaman jagung komersial di Terusan Sapi yang dilaksanakan pada 2024.
“Kita masih mempunyai baki peruntukan sekitar RM2 juta dan bercadang membangunkan sehingga 300 hektar kawasan sesuai untuk tanaman jagung di sana,” katanya.
Beliau yakin kerjasama antara KPD dan EMAT mampu merealisasikan pembangunan tanaman jagung secara berskala besar, berdasarkan kejayaan projek perintis seluas 50 hektar di Kota Marudu.
Menurutnya, penggunaan teknologi dan jentera moden yang telah diuji selama dua musim di kawasan itu terbukti sesuai dengan keadaan di Sabah.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga membantu mengurangkan kos dan memperkasakan petani tempatan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Kota Marudu telah lama digazetkan sebagai kawasan pengeluaran utama tanaman jagung selain tanaman lain seperti kopi.
Beliau turut memaklumkan bahawa perjanjian kerjasama antara KPD dan EMAT dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, dengan sasaran ditandatangani sekitar Jun tahun ini.

Jamawi (tengah) serta yang lain meneliti beras ketika mengadakan lawatan ke Kilang padi di Kg. Damai.
Sementara itu, Jamawi berkata, KPD yang kini mengeluarkan sehingga 200,000 ekor ayam pedaging sebulan berpotensi mengurangkan kos makanan ternakan sekiranya mengusahakan tanaman jagung sendiri.
“Tahun lalu sahaja KPD merekodkan jualan sebanyak RM106 juta, dan usaha ini mampu meningkatkan lagi keuntungan mereka,” katanya.
Selain jagung, beliau berkata, usaha meningkatkan SSL padi turut dipergiatkan, termasuk pembangunan kawasan di Terusan Sapi yang kini mencapai kira-kira 800 hektar daripada sasaran lebih luas.
Katanya, Kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta melalui Kementerian Ekonomi bagi membangunkan sistem pengairan di kawasan itu yang mampu menyokong tambahan 1,000 hektar tanaman.
Jamawi turut memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 3,000 hektar kawasan sawah terbiar di Kota Marudu serta jumlah sama di Kota Belud yang berpotensi dibangunkan semula.
Pada seawal jam 7.30 pagi Jawawi mengadakan lawatan ke Kg Taiwan yang mana penanaman padi di situ dikendalikan oleh dua buah syarikat tempatan dan seterusnya Jamawi juga telah melawat sebuah kilang padi di kampung Damai.
Beliau berkata, lawatan hari ini juga melibatkan beberapa projek pertanian lain termasuk ladang jagung seluas 50 hektar dan 100 hektar yang diusahakan bersama penduduk kampung serta projek padi oleh Sawit Kinabalu.
Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, sektor swasta dan petani penting bagi memastikan potensi pertanian negeri dapat dimaksimumkan.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan tahap sara diri negeri, membantu petani serta memastikan bekalan makanan lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Ts. Dr. Ramle Hj Kasin bersama Datuk Musbah Jamli; Pengarah Urusan EMAT Sdn Bhd, Louis Philip Potgieter
serta pegawai jabatan dan agensi di bawah MAFFI.


























