Mary (lima dari kiri) menyerahkan cenderakenangan kepada Toh Puan.
KOTA KINABALU : Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026 bakal menampilkan kelainan yang signifikan menerusi pelbagai penambahbaikan format penganjuran apabila para finalis akan dinilai dalam dua peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Sabah Dr Mary Gambidau berkata, langkah tersebut diambil bagi memberi ruang kepada para peserta menyerlahkan potensi diri masing-masing, selain memperkasakan lagi pengurusan acara kebudayaan berprestij itu.
“Selain pertambahan bilangan finalis, kita turut memperkenalkan kaedah penilaian secara dua peringkat, iaitu penilaian awal yang bermula sepanjang minggu Unduk Ngadau dari 26 Mei, diikuti dengan penilaian akhir pada 31 Mei ini.
“Tahun ini juga pihak penganjur telah menyediakan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan buat barisan juri bagi menjamin ketelusan dan keadilan sepanjang proses penghakiman.
“Menerusi rubrik ini, penghakiman akan menjadi lebih telus kerana fokus para juri terarah sepenuhnya kepada kriteria-kriteria penilaian yang telah ditetapkan, biarpun format asas pertandingan sedia ada tetap mengekalkan keasliannya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Menurut beliau kunjungan tersebut adalah bagi menyampaikan jemputan kepada Toh Puan Faridah untuk hadir pada Majlis Sodop Unduk Ngadau pada 28 Mei selain acara kemuncak pada 31 Mei ini.
Tambah Mary, pihak penganjur sudah bersedia untuk menerima ketibaan seramai 53 orang peserta dari pelbagai daerah bagi proses pendaftaran yang dijadualkan berlangsung di Hotel Hilton dan mengesahkan persiapan kini berada pada peringkat akhir serta berjalan lancar.


























