Pengokong bersorak semasa perhimpunan kempen untuk Naib Presiden AS dan calon Demokrat 2024, Kamala Harris di Atlanta, Georgia, Selasa.
WASHINGTON : Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dijangka mengumumkan calon gandingannya minggu ini, menjelang kempen jelajah negara yang akan bermula minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita CBS melaporkan, dalam satu tinjauan untuk calon Naib Presiden Parti Demokrat, lima individu disebut-sebut bakal menjadi pilihan Harris.
Mereka ialah Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro; Senator Arizona, Mark Kelly; Gabenor Kentucky, Andy Beshear; Gabenor Minnesota, Tim Walz; dan Setiausaha Pengangkutan, Pete Buttigieg.
Sejurus calon Naib Presiden diumumkan, pasangan tersebut akan menjelajah seluruh negara termasuk Philadelphia, Pennsylvania; Detroit, Michigan; Las Vegas, Nevada; Raleigh, North Carolina; Phoenix, Arizona; Savannah, Georgia; dan western Wisconsin.
Dalam perkembangan berasingan, Harris didapati mengatasi calon Presiden Parti Republikan di enam daripada tujuh negeri.
Menurut kaji selidik oleh Bloomberg News/Morning Consult yang dijalankan dari 24 hingga 28 Julai itu, Harris mendahului Trump di Michigan dengan 11 peratus, manakala di Arizona, Wisconsin dan Nevada, beliau mempunyai kelebihan dua mata.
Ia menunjukkan perubahan ketara sejak Presiden AS, Joe Biden menarik diri daripada bertanding semula.
Bagaimanapun, Trump berada di hadapan Harris di Pennsylvania dengan empat mata dan di North Carolina dengan dua mata, manakala di Georgia, kedudukan mereka adalah seimbang.
































