Ewon Benedick
KUALA LUMPUR: Sumbangan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) keseluruhan meningkat kepada 39.1% tahun lalu berbanding 38.6 % pada 2022.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata
pertumbuhan positif ini dapat dilihat merentasi petunjuk makroekonomi utama seperti KDNK, eksport, guna tenaga dan produktiviti.
“Berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia pada minggu lepas, KDNK PMKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5% iaitu mencapai RM613.1 bilion pada tahun 2023, lebih tinggi daripada RM584.1 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
“Prestasi pertumbuhan PMKS bukan sahaja mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 3.6% tetapi, mengatasi pertumbuhan KDNK Bukan PMKS sebanyak 2.7 %.
“Hasil daripada kadar pertumbuhan yang lebih pantas pada tahun 2023, sumbangan PMKS kepada KDNK keseluruhan meningkat kepada 39.1% berbanding 38.6% yang direkodkan pada tahun 2022,” katanya pada sidang media sempena pengumuman Prestasi PMKS 2023 dan Ramah Mesra Bersama Media, di SME Corp Malaysia, di sini, kelmarin.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi SME Corporation Malaysia Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Rizal Dato’ Nainy.
Ewon berkata, prestasi PMKS ini disokong oleh sektor perkhidmatan iaitu pengangkutan dan penyimpanan serta subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, dan penginapan.
Katanya lagi, data pertumbuhan PMKS juga menunjukkan perkembangan positif di mana terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9% iaitu daripada 923,667 perusahaan pada tahun 2022 kepada 767,421 perusahaan pada tahun 2023.
“Manakala, bilangan perusahaan bersaiz kecil meningkat sebanyak 35.8% dan bilangan perusahaan bersaiz sederhana meningkat sebanyak 7.9%.
“Ini merupakan satu petunjuk bahawa PMKS Malaysia telah mula beralih ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, dari segi pasaran pekerja pula, PMKS menggaji seramai 7.86 juta pekerja tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 263,000 pekerja berbanding tahun 2022.
“Produktiviti pekerja PMKS juga meningkat dengan mencapai nilai RM78,035 bagi setiap pekerja berbanding RM76,919 pada tahun sebelumnya.
“Suntikan teknologi dan pendigitalan akan mempercepatkan dan menambah kecekapan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan daya pengeluaran PMKS.
“Oleh itu, PMKS perlu bersedia melabur dalam automasi, teknologi dan inovasi serta meningkatkan kemahiran dan kepakaran tenaga kerja,” katanya.
Katanya, subsektor berkaitan pengguna mendapat manfaat daripada perbelanjaan berkaitan pelancongan yang bertambah baik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa China pada awal 2023 merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.
“Pemulihan sektor pelancongan ini memberikan kesan limpahan positif terhadap eksport PMKS secara langsung, di mana eksport PMKS terus berkembang sebanyak 4.5% pada tahun 2023, menjadikan sumbangan keseluruhan eksport PMKS sebanyak 12.2% atau RM152.2 billion.
“Momentum pertumbuhan eksport sebahagiannya didorong oleh peningkatan kapasiti menerusi penggunaan automasi dan pendigitalan serta pertambahan penglibatan PMKS dalam rantaian bekalan dengan syarikat besar.
“Selain itu, pelbagai inisiatif dan program galakan eksport yang berterusan oleh Kerajaan telah membantu PMKS meningkatkan kapasiti perniagaan dan menyerlahkan penjenamaan mereka di peringkat global,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP akan meneruskan komitmen dalam membangunkan PMKS melalui pelaksanaan intervensi bersasar terutamanya bagi meningkatkan penyertaan PMKS dalam rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global dan meningkatkan kapasiti dan keupayaan PMKS ke arah pengantarabangsaan.
Selain itu katanya, KUSKOP juga akan menyediakan peluang pembiayaan inklusif untuk menggalakkan pertumbuhan dan pengembangan perniagaan, meneruskan usaha mengalakkan penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan serta mempergiatkan aktiviti keusahawanan di Sabah dan Sarawak.
“Inisiatif-inisiatif yang direncanakan di bawah Pelan Strategik PMKS 2030 (PMKS 2030) akan terus ditambahbaik pelaksanaannya.
“Agensi-agensi di bawah KUSKOP, khususnya SME Corp. Malaysia, juga akan membimbing dan memberi fasilitasi kepada PMKS berpotensi untuk terlibat secara lebih aktif dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) seperti, tenaga boleh baharu (RE), kenderaan elektrik (EV), bahan termaju (Advanced Materials), Teknologi dan Digital (ICT) serta pertanian dan pembuatan pintar (smart agriculture and smart manufacturing),” katanya.
Beliau berkata, sebagai kementerian penerajy pembangunan PMKS, KUSKOP akan terus memperkasakan peranannya dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan.
“Platform tadbir urus sedia ada seperti Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang dipengerusikan oleh saya serta Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri I, akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menetapkan hala tuju dan mengawal selia pelaksanaan inisiatif pembangunan PMKS rentas Kementerian dan Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri,” katanya.