Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Sebuah syarikat dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan diserbu oleh pihak berkuasa selain pelbagai kenderaan mewah turut dirampas.
Difahamkan, serbuan dijalankan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM) di pejabat serta kediaman pemilik syarikat itu di Subang, Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, sumber berkata, operasi terbabit dijalankan hasil siasatan susulan laporan yang diterima pihak terbabit berhubung aktiviti penipuan pelaburan membabitkan kerugian jutaan ringgit.
“Pasukan telah menyerbu pejabat dan kediaman pemilik di kawasan Subang dengan beberapa kenderaan mewah termasuk Lamborghini serta BMW dirampas.
“Pejabat berkenaan turut disita untuk siasatan. Setakat ini, siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, difahamkan KPDN Putrajaya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung operasi berkenaan.
Untuk rekod, syarikat terbabit menjalankan pelaburan telah beroperasi sejak 2021 dan pernah menandatangani perjanjian persefahaman dengan sebuah pasukan bola sepak bagi tajaan.
Syarikat terbabit didakwa memperdaya mangsa menerusi skim pelaburan dan hibah yang ditawarkan dengan menjanjikan pulang lumayan.
Difahamkan, sejak ditubuhkan lebih 100,000 ahli menyertai skim pelaburan berkenaan. Bagaimanapun, pelabur yang menyertai skim itu tidak menerima pulangan dijanjikan.
Semakan mendapati, nama syarikat terbabit juga sudah dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
































