Wanita dan teman lelakinya ditahan disyaki mendera bayi lapan bulan sehingga koma di Pontian.
PONTIAN: Seorang bayi berusia lapan bulan disyaki menjadi mangsa dera ibu dan teman lelakinya sehingga tidak sedarkan diri.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Pontian, Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Pontian pada pukul 9.15 pagi semalam.
Menurutnya, sebelum dibawa ke hospital berkenaan, bayi lelaki tersebut telah dihantar ke sebuah klinik swasta di bandar ini.
“Ketika dibawa dari klinik swasta ke Hospital Pontian, bayi tersebut tidak sedarkan diri. Bayi tersebut kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
“Pegawai perubatan pakar klinikal Jabatan Pediatrik mendapati punca bayi tersebut tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan otak serta kekurangan oksigen dan terdapat kecederaan di dahi serta lebam pada bahagian mata disyaki ada unsur penderaan ,” katanya dalam satu kenyatan, di sini hari ini.
Mohammad Shofee memberitahu, bayi tersebut kini ditidurkan kerana mengalami masalah pernafasan.
“Susulan itu, ibu bayi yang berusia 26 tahun telah ditangkap di HSA, manakala teman lelaki berumur 24 tahun menyerah diri Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian semalam,” katanya sambil memberitahu pasangan kekasih itu tiada mempunyai pekerjaan tetap
Mereka yang tinggal di Taman Nilam di sini kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (A ) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


































