Logo Olimpik dilihat di hadapan Menara Eiffel sebagai tanda Paris menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024, yang berlangsung minggu ini.
PARIS: Kerajaan Perancis akan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko penularan kes jangkitan Covid-19, susulan temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Frederic Valletoux berkata, setakat ini tiada peningkatan dalam kes Covid-19 di negara itu, meskipun Perancis menerima ramai pelancong untuk Sukan Olimpik.
“Covid-19 masih ada bersama kita pada tahap rendah, tetapi tiada lonjakan besar berlaku akibat virus ini,” kata Valletoux kepada penyiar Franceinfo.
Beliau berkata, buat masa ini pihak berkuasa tidak merancang untuk memperkenalkan keperluan pemakaian pelitup muka di tempat acara sukan.
“Tiada sebarang isyarat amaran yang kuat di peringkat ini,” katanya.
Daripada 10,500 atlet yang menyertai Sukan Olimpik, sebahagian kecilnya disahkan positif Covid-19 sejak tiba di Paris.
Antara yang paling teruk terjejas ialah pasukan polo air wanita Australia, dengan ketua delegasinya, Anna Meares mengesahkan lima kes.
Manakala, beberapa pesaing Belgium juga diuji positif, menurut doktor Jawatankuasa Olimpik.
Susulan itu, beberapa delegasi memperketatkan langkah berjaga-jaga, termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka sebelum pertandingan.






























