Skuad B-19 negara berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Thailand 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C Kejuaraan B-19 ASEAN di Stadium Gelora Bung Tomo, hari ini. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Skuad bawah 19 (B-19) negara berjaya bangkit daripada ketinggalan mengikat Thailand 1-1 sekali gus muncul juara Kumpulan C dalam Kejuaraan B-19 ASEAN di Stadium Gelora Bung Tomo, Indonesia sebentar tadi.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan tersebut membolehkan skuad kendalian Juan Torres Garrido berkongsi tujuh mata dengan Thailand namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
Pasukan B-19 negara dijadual bertemu Indonesia di peringkat separuh akhir kejohanan di venue yang sama pada 27 Julai ini.
Dalam aksi tersebut, Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi percubaan Caelan Tanadon sebelum Pavithran Gunalan menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan penalti dua minit selepas rehat.
Thailand dijadual bertemu Australia di venue yang sama juga pada 27 Julai ini.


































