SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia dijatuhkan hukuman penjara selama 14 minggu di Singapura kerana melanggar syarat kuarantin, selepas disahkan positif cacar monyet (mpox) pada 2022.
Menurut Utusan Malaysia, Kelvin Low Zi Jian, 27, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana melanggar syarat kuarantin atau pengasingan, dengan lima pertuduhan lagi diambil kira.
Pada Ogos 2022, Zi Jian menerima mesej daripada Kementerian Kesihatan (MOH) mengenal pasti dia sebagai kontak rapat kes mpox.
Seorang anggota Kumpulan Petugas Amaran Kesihatan MOH menghubungi Low untuk bertanya sama ada dia boleh menjalani kuarantinnya di rumah, dan Zi Jian mengesahkan dia tinggal bersendirian.
Wakil MOH memberitahu Zi Jian boleh dikuarantin di rumah, tetapi dia tidak boleh meninggalkan unit dan menerima pelawat.
Zi Jian menerima syarat itu sebelum memberitahu Kumpulan Petugas Amaran Kesihatan mengenai ruam pada lutut kirinya, yang tidak dipastikan sama ada itu adalah simptom mpox.
Pada malam sama, perintah kuarantin elektronik dikeluarkan kepada Zi Jian melalui SMS, memaklumkan dia kekal dikuarantin di unit itu bermula 3 Ogos hingga 15 Ogos 2022.
Perintah itu menyatakan Zi Jian tidak boleh meninggalkan rumahnya tanpa sebab, termasuk membeli barangan runcit atau berjalan, dan tidak dibenarkan menerima pelawat.
Perintah itu menegaskan, tindakan tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut adalah satu kesalahan.
Tidak lama selepas menerima perintah itu, Zi Jian berhubungan intim dengan empat lelaki yang dinamakan dalam dokumen mahkamah sebagai A1, A2, A3 dan A5 dalam tempoh satu malam.
Pada 5 Ogos 2022, lelaki itu mendapati dia mengalami ruam pada paha kanan dan melaporkan kepada pegawai MOH, sebelum dibawa ke NCID untuk ujian.
Dia disahkan menghidap mpox pada hari sama dan diasingkan ke Village Hotel Albert Court.
MOH menerima berita mengenai pelanggaran kuarantin Zi Jian, dengan pegawai dari Kumpulan Petugas Amaran Kesihatan mengeluarkan surat amaran kepadanya pada 8 Ogos 2022.
Kira-kira 15 minit selepas pegawai bertemunya menyerahkan surat amaran itu, Zi Jian sekali lagi melanggar perintah kuarantin dan meninggalkan hotel.
Semasa siasatan, Zi Jian mengakui bertemu A2 dan A3 untuk melakukan hubungan seks dan berbincang masalah peribadi.
A2 dan A3 tidak dijangkiti mpox, tetapi A3 diletakkan di bawah kuarantin kerana melawat Zi Jian.
Pendakwa raya memohon tempoh penjara 26 minggu dikenakan terhadap Zi Jian, kerana dia melakukan hubungan intim dengan pelawatnya yang dianggap berisiko, memandangkan mpox boleh merebak melalui sentuhan fizikal.
Bagaimanapun, peguam Shehzhadee Abdul Rahman memohon denda atau penjara tidak lebih daripada tiga minggu.
Shehzhadee berkata, anak guamnya berada di Singapura atas permit kerja dan sudah bekerja di negara itu sejak enam tahun lalu.
Beliau berkata, anak guamnya meninggalkan bilik hotel kerana mengalami serangan panik akibat diasingkan selama dua hari dan memikirkan prosiding jenayah.


































