Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat 704 pertuduhan ke atas penjawat awam melibatkan pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh lima tahun sejak 2020 sehingga 13 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, daripada jumlah tersebut, 352 individu telah disabitkan kesalahan manakala 45 orang lagi dilepaskan dan dibebaskan di atas keputusan mahkamah.
“Selebihnya masih dalam peringkat perbicaraan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara Isnin.
Terdahulu, Senator Mohd. Hasbie Muda meminta jumlah penjawat awam yang ditahan, didakwa dan didapati bersalah di bawah Akta SPRM 2009 sejak 2020.
Azalina menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas berhubung jumlah RM 277 bilion
yang hilang akibat perbuatan rasuah serta penyelewengan wang dan tindakan segera yang telah dimulakan oleh kerajaan untuk mendapatkan semula duit tersebut.
Beliau memaklumkan, SPRM juga akan terus mengesan harta-harta jenayah lain yang berada di luar negara dengan mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi luar negara.
Katanya, SPRM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan turut menyertai pasukan khas (pemulihan aset) di bawah Jabatan Peguam Negara dalam menangani kes-kes ketirisan dana kerajaan.
Katanya, satu pasukan iaitu Multi-Agency Task Force diketuai SPRM dan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan agensi-agensi penguatkuasa lain juga telah ditubuhkan bagi membendung, mengambil tindakan dan pemulihan aset untuk mendapatkan semula harta jenayah yang diseleweng.
“Pada peringkat nasional pula pada 7 Mei, Perdana Menteri telah meluncurkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
“Secara amnya, pelaksanaan NACS akan melibatkan pindaan kepada dasar dan undang-undang negara iaitu penambahbaikan kepada perundangan sedia ada, pewujudan perundangan baharu dan penambahbaikan kepada peraturan serta pekeliling ke atas keseluruhan perkhidmatan awam dan anggota pentadbiran,” katanya.
Menyentuh jumlah ketirisan, Azalina berkata, SPRM mengambil peratusan kerugian pada 2017 berasaskan data Transparency International Malaysia yang menganggarkan ekonomi negara rugi sebanyak RM47 bilion akibat daripada aktiviti rasuah pada tahun itu.
Katanya, anggaran bagi 2017 adalah bersamaan dengan 3.4 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu RM1,372 bilion.
“Justeru, untuk mendapatkan nilai kerugian terkumpul sepanjang 2019 hingga 2023, nilai peratusan yang sama, iaitu 3.4 peratus dikalikan dengan nilai KDNK negara bagi 2019 hingga 2023, iaitu sebanyak RM277 bilion,” katanya.


































