KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan laporan polis diterima sejak Mei lalu membabitkan penipuan tawaran perkhidmatan kitar semula dengan nilai kerugian keseluruhan RM243,693.50.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan satu taktik penipuan phishing (memancing data) melalui tawaran pembelian barangan terpakai yang diiklankan di Facebook Eco Recycling.
“Melalui iklan tersebut, pihak syarikat menawarkan pembelian pelbagai barangan terpakai seperti barangan elektrik, gajet, surat khabar, pakaian dan lain-lain.
“Mangsa yang berminat untuk menjual barangan terpakai, mereka diminta untuk mendaftar di aplikasi Home Solution yang dimuat turun dengan menggunakan pautan dihantar melalui WhatsApp,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, kelmarin.
Ramli berkata, setelah mendaftar, mangsa dikehendaki membuat pembayaran deposit RM10, kononnya untuk menempah slot bagi kutipan barangan yang ingin dijual.
“Mangsa kemudiannya akan dibawa ke paparan laman web perbankan palsu yang bertujuan untuk mendapatkan data nama pengguna dan kata laluan mangsa.
“Setelah memasukkan nama pengguna dan kata laluan, laman web tersebut tidak dapat diakses kononnya dalam penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata, telefon milik mangsa juga digodam.
“Mangsa hanya mengetahui telah ditipu apabila mendapati wang miliknya telah dipindahkan ke beberapa akaun bank yang tidak dikenali tanpa pengetahuannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, phishing adalah satu bentuk serangan siber di mana penjenayah cuba untuk mendapatkan maklumat peribadi seperti kata laluan, nombor kad kredit, atau data sensitif lain dengan menyamar sebagai entiti yang dipercayai.
“Serangan ini biasanya dilakukan melalui e-mel, mesej teks, atau laman web palsu yang kelihatan sah.
“Tujuan utama phishing adalah untuk menipu mangsa agar memberikan maklumat peribadi mereka secara sukarela,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi yang diterima melalui mesej, e-mel dan seumpamanya.
“Orang ramai dinasihatkan, sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hanyalah dilakukan melalui platform yang selamat dan dipercayai seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya.


































