Albertine Leo Jia Hui
PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan Albertine Leo Jia Hui,6, yang ditemukan di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor sudah dihantar pulang ke Johor Bahru selepas menjalani peperiksaan di Hospital Selayang.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber memberitahu, sebaik diselamatkan sepasukan polis awal pagi kelmarin, mangsa terus dibawa ke hospital.
Selepas menerima rawatan, kanak-kanak berkenaan dibenarkan pulang.
“Pemeriksaan lanjut terhadap fizikal dan mental kanak-kanak berkenaan dalam keadaan baik,” katanya di sini.
Terdahulu, Jia Hui yang dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu ditemukan di Batang Kali.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan ketika dihubungi di sini hari ini.
Susulan itu, tiga individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes Albertine.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, tiga individu warga tempatan itu ditahan di sekitar Gelang Patah, pada pukul 1.30 tengah hari namun punca mangsa diculik belum diketahui.


































