Umur pencen di China kini ditetapkan pada 60 tahun untuk lelaki dan 55 untuk wanita, antara usia persaraan paling muda di dunia.
BEIJING: China bercadang melanjutkan umur persaraan dalam tempoh lima tahun ini, ketika negara berdepan dengan lambakan golongan populasi warga emas dan sistem pencen yang kekurangan dana.
Menurut Utusan Malaysia, sebuah jawatankuasa pusat Parti Komunis China dalam satu kenyataan berkata, pihaknya secara beransur-ansur akan meningkatkan umur persaraan berkanun di negara ini.
Ia bagaimanapun tidak menyatakan berapa umur persaraan akan dinaikkan dan bila masanya, lapor BBC.
Tetapi, menurut Laporan Pembangunan Pencen China yang dikeluarkan pada penghujung tahun lalu, usia 65 tahun mungkin keputusan akhir selepas pelarasan.
Akhbar Global Times yang memetik ahli demografi di China melaporkan, rancangan untuk menaikkan umur persaraan menyerlahkan ‘kesukarelaan’ dan ‘fleksibiliti’, menunjukkan pihak berkuasa mengakui tidak ada satu dasar yang sesuai untuk semua apabila berkaitan dengan persaraan.
Umur pencen di China kini ditetapkan pada 60 tahun untuk lelaki dan 55 untuk wanita, antara usia persaraan paling muda di dunia.
Cadangan itu dikemukakan ketika Beijing berdepan kekurangan dana pencen menjelang 2035 susulan kesan ekonomi akibat jangkitan Covid-19.
Pada masa sama, populasi negara ini juga mencatat pengurangan bagi tahun kedua berturut-turut disebabkan kejatuhan kadar kelahiran.


































