Seorang lelaki ditahan selepas melarikan diri daripada SJR dengan memandu secara melulu dan melawan arus di Jalan Tristan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai.
ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki yang memandu melawan arus kira-kira 30 kilometer untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Indah, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Mohd. Azlan Abdul Kadir berkata, lelaki berusia 24 tahun itu berjaya ditahan di Jalan Tristan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Pada awalnya, pemandu Toyota Vios berwarna putih ditahan dalam SJR yang diadakan dari 12 tengah malam Jumaat hingga 4 pagi semalam sebelum bertindak melarikan diri.
“Pihak polis mengejar kereta berkenaan dan lelaki tersebut terus memecut keretanya dengan kelajuan 120 hingga 130 kilometer per jam dalam usaha meloloskan diri. Suspek kemudian bertindak agresif dengan memandu melawan arus dan melanggar lampu isyarat lalu lintas selain memandu pada kelajuan tinggi hingga membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohd. Azlan berkata, anggota polis yang mengejar suspek turut dibantu dua kereta peronda polis (MPV) lain sebelum berjaya menahannya di Jalan Tristan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Suspek ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 186 kanun Kesiksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau, iaitu kes di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987 dan ujian saringan kencing mendapatinya negatif dadah,” katanya.
Mengenai SJR tersebut, seramai 20 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri terlibat dan memeriksa sebanyak 15 kenderaan.
“Sebanyak 11 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. Dua lelaki tempatan berumur 35 dan 40 tahun ditangkap atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987 yang mempetuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.