Abdullah Daud dituduh menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS dan Daesh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan Daesh.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Abdullah Daud, 70, mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanamkan ideologi keganasan.
Abdullah turut didakwa membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, di sini untuk menyokong aktiviti keganasan antara 3 September 2023 hingga 14 April lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130G (a) dan Seksyen 130H (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.
Bekas pensyarah turut dituduh memiliki dua buah buku yang bertajuk ‘Hakikat Dienul Islam’ dan ‘Tarbiyah Jihadiyah’ serta dua buku digital dan dua buah video dalam telefon bimbit yang merupakan bahan yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama, iaitu penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut.
Dalam prosiding sama, seorang kontraktor turut didakwa memiliki item yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohamad Awang, 48, yang juga hanya menyatakan faham selepas pertuduhan itu dibacakan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Daya, kira-kira pukul 7.05 pagi pada 23 Jun lalu dan didakwa di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan tiada jaminan ditawarkan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan mereka ditahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang didakwa dengan kesalahan keselamatan.
Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.