Suspek ditahan polis dipercayai melarikan dua kanak-kanak dengan menaiki Perodua Bezza di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
KUALA SELANGOR: Seorang lelaki yang dipercayai melarikan dua kanak-kanak perempuan dengan menaiki Perodua Bezza di daerah ini kelmarin berjaya dicekup polis awal pagi tadi.
Suspek berusia 32 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Jeram di sini, kira-kira pukul 2.40 pagi.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Polis, Mohd. Ambia Nordin berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) menerusi hasil siasatan dan maklumat diperoleh pihaknya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu bagaimanapun didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Mohd. Ambia, suspek kini direman selama lima hari sehingga 25 Julai depan bagi membantu siasatan.
“Polis masih meneruskan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian dan modus operandi suspek. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan suasana di sekitar Jeram gempar apabila dua kanak-kanak dilaporkan hilang selepas dilarikan seorang lelaki menaiki Bezza ketika pulang mengaji petang kelmarin.
Suspek dipercayai berpura-pura bertanyakan alamat dan membawa mangsa bersiar-siar lebih sejam sebelum menurunkan mereka semula di sekitar lokasi kejadian.
Pemeriksaan lanjut polis mendapati kanak-kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan atau dicabul.