Ewon dan pegawai agensi penguatkuasa melawat kawasan parkir sementara yang disediakan oleh KKIP bagi menangani isu parkir di bahu jalan Sepanggar.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata kemudahan parkir sementara lori dan treler kontena serta kawasan penyimpanan kontena tambahan disediakan bagi menangani isu parkir di bahu jalan dan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP).
Beliau berkata parkir sementara seluas lebih satu ekar itu disediakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), manakala kawasan penyimpanan kontena tambahan seluas 14 ekar akan dibangunkan oleh Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB).
Katanya, kedua-dua kemudahan itu merupakan sebahagian daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang diperakukan Kabinet Kerajaan Sabah.
Menurutnya, penyediaan kawasan parkir sementara itu bagi menangani kekurangan tempat meletakkan treler kontena, terutama apabila depo di KKIP penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi.
“Isu yang timbul selama ini adalah ketiadaan kawasan letak treler kontena sementara yang lain, terutama selepas depo-depo di KKIP sudah penuh atau tidak lagi menerima kontena-kontena selepas waktu operasi.
“Sebab itu, KKIP telah mengambil langkah proaktif menyediakan kawasan parkir sementara yang kini sudah mulai digunakan oleh syarikat perkhidmatan lori treler sejak bulan lalu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar, di sini, kelmarin.
Mesyuarat itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), SPSB dan KKIP.

Ewon yang juga Pengerusi KKIP berkata langkah jangka pendek, sementara dan jangka panjang telah dikenal pasti, dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah menyelaras inisiatif berkaitan.
“Saya dimaklumkan LPKP Sabah telah mengambil lebih 3,000 tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, termasuk mengeluarkan 2,085 notis pelanggaran syarat lesen, 846 surat amaran dan 82 surat penggantungan serta membatalkan 16 permit bagi treler yang melanggar peraturan, termasuk meletak di bahu jalan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan aspek penguatkuasaan syarat wajib pemilikan depo sendiri bagi setiap syarikat pengangkutan yang memohon atau memperbaharui permit treler masing-masing.
Selepas mesyuarat itu, Ewon melawat kawasan parkir sementara untuk lori dan treler kontena yang boleh memuatkan maksimum 50 treler pada satu-satu masa.
“Kapasiti ini boleh ditambah mengikut keperluan pengguna kerana tanah KKIP adalah tersedia,” katanya.
Katanya, DBKK akan membantu KKIP mewartakan penggunaan sementara kawasan berkenaan sebagai tapak depo atau parkir sementara lori treler, selaras dengan keputusan Kabinet Kerajaan Sabah.
Langkah itu akan membolehkan syarikat perkhidmatan lori treler menggunakan kawasan berkenaan sebagai kawasan depo semasa memperbaharui permit tahunan.
Beliau berkata beberapa syarikat sudah mula menggunakan kemudahan tersebut dan agensi penguatkuasaan akan membantu memastikan syarikat berkaitan memanfaatkan kawasan parkir itu.
Ewon berkata pemantauan mingguan oleh agensi pihak berkuasa mendapati jumlah lori treler yang diletakkan di bahu jalan boleh mencecah sehingga 200 buah.
“Satu kompaun yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan bagi treler yang diletakkan di bahu jalan adalah sebanyak RM300 dan jumlah ini sebenarnya sudah boleh membiayai kadar sewa di parkir sementara treler ini untuk tempoh hampir sebulan,” katanya.
Beliau berkata penyediaan kemudahan parkir sementara itu telah dimaklumkan lebih awal kepada persatuan logistik dan pengangkutan yang beroperasi dengan SBCP.
Ewon turut meninjau tapak seluas 14 ekar bersebelahan SBCP yang akan dibangunkan SPSB sebagai kawasan penyimpanan kontena tambahan.
Menurutnya, kemudahan itu akan membantu memenuhi keperluan syarikat kilang besar di KKIP, khususnya yang beroperasi 24 jam dan mempunyai keperluan eksport serta import melalui SBCP sepanjang masa.
Kawasan tersebut juga akan menjadi tempat penyimpanan sementara produk berasaskan kayu oleh Sabah Timber Industries Association (STIA).
“Kesemua 10 Pelan Tindakan yang dilaksanakan akan berkuat kuasa sehingga projek pembesaran SBCP yang sedang berjalan siap sepenuhnya,” katanya.
Bagi jangka panjang, beliau berkata keseluruhan kawasan pelabuhan di Teluk Sepanggar akan dibangunkan sebagai pelabuhan bersepadu moden, bermula dengan penyiapan projek pembesaran semasa sebelum disusuli pembesaran seterusnya.
“MINDET akan terus memperkasa inisiatif-inisiatif yang bersesuaian supaya aktiviti perindustrian dapat dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk syarikat-syarikat perkhidmatan lori treler.
“Selagi diberi mandat dan tanggungjawab, saya akan terus berkepimpinan bersama pelbagai pihak dan pemegang taruh bagi memastikan pelabuhan-pelabuhan di Sabah menyumbang dengan lebih baik kepada pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah,” katanya.
Beliau turut menyatakan akan membawa beberapa perkara berkaitan ekosistem pelabuhan untuk dibincangkan dengan kementerian berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan.






























