Joniston yang mewakili Ketua Menteri bersama Presiden FCAS Tan Sri TC Goh (kanan), tetamu jemputan dan ahli jawatankuasa FCAS memotong kek ulang tahun persatuan itu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berharap lebih ramai golongan muda tampil mengambil peranan kepimpinan dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan komuniti di Sabah.
Beliau berkata generasi muda sebagai pemimpin masa depan perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyumbangkan idea, tenaga dan kepakaran dalam meneruskan legasi generasi terdahulu.
Pada masa sama, beliau menggalakkan sektor korporat dan komuniti perniagaan supaya terus bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Budaya tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu amat penting dalam membina masyarakat yang progresif, prihatin dan bersatu padu,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-32 Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Pengumpulan Dana Bangunan di Port View Palace Hall, di sini, malam tadi. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat seperti FCAS yang menjadi penghubung penting antara masyarakat Cina dengan Kerajaan Negeri sejak penubuhannya pada 1994.
Beliau berkata masyarakat Cina telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam bidang perdagangan, perniagaan, perindustrian, pendidikan dan pelancongan.
“Peranan FCAS sebagai jambatan antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat Cina perlu terus diperkukuhkan bagi memupuk persefahaman, membina kepercayaan dan memastikan aspirasi masyarakat disampaikan secara konstruktif,” katanya.
Beliau berharap FCAS akan terus menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda pembangunan Sabah, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
“Selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur, membangunkan modal insan serta memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.
“Bagaimanapun, kejayaan agenda ini memerlukan kerjasama erat semua pihak, termasuk sektor swasta, pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai peluang sama rata untuk mendapat manfaat dan menyumbang kepada pembangunan negeri, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Presiden FCAS Tan Sri (Dr) TC Goh dan barisan kepimpinannya sempena ulang tahun persatuan itu yang ke-32.
Beliau berkata sambutan tahun ini lebih bermakna dengan perasmian Wisma FCAS di Kampung Air, Kota Kinabalu, pada pagi tadi, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah persatuan itu.
“Kerajaan Negeri telah menyumbangkan RM1 juta bagi menyokong pembangunan Wisma FCAS.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata kejayaan menyiapkan Wisma FCAS adalah hasil semangat kebersamaan dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk persatuan gabungan, sektor korporat, para dermawan serta masyarakat Cina secara keseluruhannya.
Beliau yakin FCAS akan terus kekal relevan dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Sabah.


























