Dr Bonaventure (tengah) bersama ahli PBS Bahagian N14 Tamparuli, terdiri daripada AJK Bahagian, ahli Mitatabang Komuniti dan Koperasi Komuniti Mitatabang Berhad, menunjukkan produk air Mitatabang.
TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N14 Tamparuli menggalakkan ahlinya melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi sebagai pendekatan baharu untuk memperkukuh ekonomi, meningkatkan kemahiran serta menjaga kebajikan masyarakat.
Ketua Bahagian PBS Tamparuli Dr Bonaventure Boniface berkata penglibatan ahli parti tidak seharusnya terbatas kepada aktiviti politik semata-mata, sebaliknya perlu diperluas kepada usaha pembangunan sosioekonomi yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Kita mahu ahli PBS bukan sahaja aktif dalam politik, tetapi turut menjadi penggerak ekonomi dan pembangunan komuniti. Matlamat kita ialah membina masyarakat yang berkemahiran, berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata dua platform yang akan diberikan perhatian ialah Persatuan Gerak Bantu Komuniti (Mitatabang Komuniti) dan Koperasi Komuniti Mitatabang Berhad, yang mempunyai peranan berbeza tetapi saling melengkapi.
Mitatabang Komuniti, yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 10 Jun 2021, memberi tumpuan kepada latihan kemahiran, pembangunan modal insan dan bantuan kebajikan masyarakat.
Koperasi Komuniti Mitatabang Berhad pula memfokuskan aktiviti ekonomi dan keusahawanan, khususnya pemasaran serta penjualan produk air berjenama Mitatabang.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Bonaventure mengekalkan jawatan Presiden Mitatabang Komuniti bagi sesi 2026-2028 pada Mesyuarat Agung Pertamanya pada 13 Oktober lalu.
Boe Sindolun dan Jilias Lintar dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala Selvis Gambar, Zaitus Lingguan dan Jovitha J Sorinon sebagai Naib Presiden.
Ahli Jawatankuasa yang dipilih ialah George Bagang, Henry Insing, Nancy Mangatas, James Sinail dan Dabbie Jacquelyn.
Beliau turut melantik Nurul Ain Repin sebagai Setiausaha, Arool Andrew Alex sebagai Bendahari dan Ziko bin Sanam sebagai Ketua Pegawai Penerangan.
Dr Bonaventure menegaskan bahawa penyertaan dalam NGO dan koperasi itu adalah secara sukarela serta terbuka kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, tertakluk kepada peraturan organisasi masing-masing.
“Kita mahu mengubah pendekatan daripada sekadar memberikan bantuan kepada membina keupayaan masyarakat. Melalui latihan kemahiran, kebajikan dan aktiviti koperasi, kita berharap dapat mewujudkan peluang ekonomi yang lebih mampan.
“Politik bukan sekadar memperjuangkan perubahan, tetapi mesti mampu membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat,” katanya.




























