KOTA KINABALU: Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) berkapasiti 130 megawatt (MW) pertama Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, tidak akan menggunakan bekalan elektrik daripada grid awam negeri atau bekalan air minuman terawat pihak berkuasa tempatan, sekali gus memastikan operasinya tidak menjejaskan sumber untuk kegunaan pengguna domestik.
Pengarah Urusan The North AIDC Sdn Bhd dan The North Gas Power Sdn Bhd Datuk Sr Chua Soon Ping berkata kemudahan berskala besar (hyperscale), berkuasa sendiri dan menggunakan sistem penyejukan cecair itu akan menjana 100 peratus keperluan elektriknya di lokasi berkenaan menggunakan enjin gas asli berkecekapan tinggi yang dibekalkan Sabah Energy Corporation (SEC).
Beliau berkata sistem penyejukannya juga akan menggunakan air industri terawat yang diperoleh dari Teluk Salut berhampiran, dan bukannya air minuman terawat daripada bekalan perbandaran.
“Pendekatan kami adalah untuk memastikan sistem penyejukan industri diasingkan daripada bekalan air minuman. Sistem penyejukan cecair berketumpatan tinggi kami menggunakan bahan penyejuk dalam gelung tertutup, dengan cecair itu digunakan semula untuk mengeluarkan haba.
“Bagi tujuan penyejukan, air mentah dari Teluk Salut berhampiran akan dirawat menggunakan sistem penyahgaraman modular dan osmosis songsang yang disediakan Shenzhen Yuehai Water. Proses ini menghasilkan air industri untuk sistem penyejukan cecair gelung tertutup kami,” katanya.
Bekalan air minuman untuk jurutera, kakitangan dan petugas pusat berkenaan pula akan dibekalkan secara berasingan oleh Jabatan Air Negeri Sabah.
Chua berkata projek itu menandakan pencapaian bersejarah bagi Sabah sebagai pusat data AI berskala besar, berkapasiti 130MW, berkuasa sendiri dan menggunakan sistem penyejukan cecair yang pertama di negeri ini, yang dilancarkan secara rasmi bersama majlis pemeteraian kerjasama strategik membabitkan tujuh syarikat.
Beliau berkata kemudahan itu direka untuk menyokong peningkatan permintaan terhadap pengkomputeran kecerdasan buatan, yang sangat bergantung kepada Unit Pemprosesan Grafik (GPU) berkeupayaan melaksanakan banyak pengiraan secara serentak bagi melatih dan menjalankan model AI.
Berbeza dengan pusat data konvensional yang kebanyakannya menggunakan Unit Pemprosesan Pusat (CPU) bagi tugasan pengkomputeran umum, pusat data AI memerlukan kuasa pengkomputeran jauh lebih tinggi, sekali gus menghasilkan haba yang tinggi dan tidak dapat diuruskan secara cekap melalui sistem penyejukan udara semata-mata.
Oleh itu, kemudahan berkenaan akan menggunakan sistem penyejukan cecair terus ke cip, dengan bahan penyejuk mengalir dalam gelung tertutup untuk menyerap haba sebelum dikitar semula, sekali gus mengurangkan keperluan menggantikan air.
Beliau berkata kumpulan Yuehai Water yang lebih besar turut mengendalikan Projek Bekalan Air Dongshen, yang merupakan antara sumber utama air mentah bagi Hong Kong, sekali gus membawa pengalaman luas dalam pengurusan bekalan air kepada pembangunan berkenaan.
Chua berkata projek itu disokong empat asas penting iaitu bekalan elektrik, air, tanah dan sambungan jalur lebar.
Tapak berkenaan mempunyai hak milik penuh, bebas banjir dan terletak di kawasan puncak bukit kecil dalam KKIP, dengan akses jalan raya serta koridor utiliti perindustrian yang telah tersedia. Tanah itu telah dimiliki kumpulan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Mengenai sambungan rangkaian, beliau berkata, kemudahan itu akan mempunyai tiga sambungan kabel teras ke Singapura, sekali gus menjadi sebahagian penting daripada capaian antarabangsa dan hubungannya dengan hab digital serantau utama.
Kemudahan itu menyediakan kapasiti sambungan sehingga empat terabit sesaat (Tbps) ke Singapura, lapan Tbps ke Cyberjaya, empat Tbps ke Hong Kong, dua Tbps ke Tokyo serta masing-masing satu Tbps ke Jakarta dan Los Angeles.
Beliau berkata satu Tbps bersamaan 1,000 gigabit sesaat, sekali gus menyediakan kapasiti besar bagi pemindahan set data AI, akses kepada platform pengkomputeran awan dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Malaysia, Asia dan Amerika Utara.
Bagaimanapun, angka berkenaan merupakan kapasiti maksimum tertakluk kepada ketersediaan, manakala prestasi sebenar bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan dan keadaan rangkaian.
Tujuh rakan strategik yang terlibat dalam majlis pemeteraian kerjasama itu ialah iSkill Dynamics Sdn Bhd, MEG Consult Sdn Bhd, Shenzhen Yuandong Zhiqi Technology Co Ltd, Shenzhen Weimingsheng Technology Co Ltd, TCL Home Appliances (HK) Co Limited, CCIE Engineering (M) Sdn Bhd dan Hunan Liyu Gas Power Co Ltd.
Chua berkata MEG Consult yang mempunyai pengalaman dalam 35 projek pusat data AI di Malaysia, kebanyakannya di Johor, akan memberikan sokongan dalam reka bentuk kejuruteraan.
Shenzhen Yuandong Zhiqi Technology dan Shenzhen Weimingsheng Technology pula akan melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) masing-masing bagi komponen berkapasiti 30MW dan 20MW.
TCL Home Appliances akan membekalkan peralatan solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan peralatan penyejukan cecair, manakala CCIE Engineering, syarikat Malaysia milik China Construction Installation Group, akan menyumbangkan kepakaran kontraktor serta keupayaan pemasangan modular.
Hunan Liyu Gas Power pula akan membekalkan penjana gas modular, dengan setiap kontena sepanjang 40 kaki menempatkan kapasiti penjanaan sebanyak 2MW, sekali gus membolehkan sistem kuasa dihantar dan dipasang secara berperingkat seiring dengan pembangunan kemudahan pengkomputeran.
Beliau berkata penekanan terhadap kaedah penyampaian modular yang merangkumi pembinaan, penjanaan kuasa, penyejukan dan infrastruktur pengkomputeran itu akan memendekkan tempoh pemasangan di tapak serta membolehkan kapasiti beroperasi dengan lebih cepat.
Kemudahan itu, yang direka untuk menyokong seni bina NVIDIA GB200 NVL72 dan generasi seterusnya GB300 Grace Blackwell, akan dilengkapi ruang pengkomputeran modular, antara muka penyejukan cecair jenis pasang dan guna serta sistem pengagihan kuasa tersuai bagi menyokong pemasangan cekap dan pengembangan pada masa hadapan.
Chua berkata Sabah tidak boleh ketinggalan seiring perkembangan teknologi, sambil menambah projek itu akan mewujudkan sektor industri AI baharu di samping kekuatan negeri dalam bidang pertanian, tenaga dan pelancongan.
Beliau berkata Sarawak telah mengumumkan rancangan membangunkan Kuching AI Data Campus, manakala cadangan pembangunan pusat data turut diumumkan di Bintulu.
Sarawak melancarkan Sovereign AI Infrastructure Platform pada Ogos lalu, manakala SoftBank, Grab dan PETROS menandatangani perjanjian rangka kerja pada Oktober bagi meneroka pembangunan infrastruktur AI dan digital di negeri itu.
Johor pula berjaya menarik lebih 40 projek pusat data, termasuk kemudahan yang telah beroperasi dan yang berada pada pelbagai peringkat pembangunan, manakala Selangor terus memperluaskan infrastruktur digitalnya, khususnya di Cyberjaya.
“Kami mengalu-alukan perkembangan ini. Ia mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dan menunjukkan skala peluang yang turut perlu diterokai Sabah,” katanya.
Beliau berkata Sabah telah memberikan sumbangan besar kepada kemakmuran Malaysia menerusi sumber minyak dan gas serta industri kelapa sawit, yang disokong oleh tenaga kerja tempatan, pekebun kecil, jurutera dan usahawan sejak beberapa generasi lalu.
Katanya, sumbangan itu seharusnya diterjemahkan kepada peluang pembangunan yang bermakna, termasuk infrastruktur lebih baik, akses kepada pelaburan serta peluang untuk rakyat Sabah memperoleh kemahiran berteknologi tinggi.
“Kepentingan pusat data AI kami melangkaui bangunan dan peralatan semata-mata. Ia boleh membantu Sabah mengekalkan lebih banyak nilai daripada kekuatan yang dimilikinya dengan menyokong perniagaan yang menggunakan pengkomputeran canggih, membuka peluang kepada pembekal tempatan dan merapatkan hubungan universiti kita dengan industri,” katanya.
Kemudahan berkapasiti 130MW itu menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal pelanggan termasuk Agoda, Tencent dan Alibaba Cloud, selain syarikat lain.
Chua berkata projek itu akan memperkukuh infrastruktur gentian optik tempatan, menarik penyedia teknologi dan mewujudkan peluang hiliran dalam bidang kejuruteraan perisian serta perkhidmatan AI.
Ia juga berpotensi menggalakkan rakyat Sabah yang kini bekerja di Cyberjaya dan Singapura untuk pulang dan membina kerjaya dalam ekonomi digital negeri yang semakin berkembang.
Bagi memastikan golongan muda Sabah mendapat manfaat secara langsung, beliau mengumumkan Program Biasiswa Akademik Pusat Data AI tahunan, dengan Kerajaan Sabah diberi tanggungjawab memilih 10 pelajar setiap tahun.
Biasiswa itu akan ditawarkan kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Sains Komputer, Kejuruteraan Data atau Kecerdasan Buatan di mana-mana universiti yang diiktiraf di Malaysia.
Setiap penerima akan mendapat pembiayaan penuh yuran pengajian serta elaun token pengkomputeran percuma sepanjang tempoh pengajian empat tahun, bagi membolehkan mereka membangunkan dan melatih model AI sendiri.
Mereka juga berpeluang menjalani latihan industri di pusat data AI berkenaan bagi memperoleh pengalaman praktikal serta menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan industri.
Chua berkata teknologi AI dijangka berkembang melangkaui skrin komputer ke dunia fizikal, sambil memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, pada COMPUTEX 2024 bahawa gelombang AI seterusnya ialah AI fizikal.
Teknologi sedemikian berupaya memahami persekitaran, membuat pertimbangan dan mengambil tindakan dalam persekitaran sebenar, dengan implikasi terhadap sektor kilang, pengangkutan dan pertanian.
Beliau turut memetik ramalan Elon Musk pada AI Startup School anjuran Y Combinator pada 2025 bahawa dunia semakin menghampiri kecerdasan super digital, iaitu keadaan apabila AI mengatasi keupayaan intelektual manusia dalam pelbagai bidang.
Beliau menggesa komuniti perniagaan tempatan agar menerima penggunaan AI dan membangunkan kemahiran yang diperlukan, sambil memberi amaran bahawa syarikat yang hanya bergantung kepada kaedah operasi sedia ada tanpa perubahan serta peralatan digital asas berisiko ketinggalan berbanding pesaing.
“Kita mesti membangunkan kemahiran untuk menggunakan teknologi ini, menambah baik cara perniagaan kita beroperasi dan mewujudkan perkhidmatan yang diperlukan pelanggan pada tahun-tahun akan datang.
“Marilah kita mempersiapkan Sabah untuk turut serta dalam perkembangan ini dan memberikan rakyat kita peralatan serta keupayaan untuk membantu membentuk masa depannya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, rakan agensi kerajaan serta delegasi pelaburan antarabangsa atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan.






























