ALOR GAJAH: Gara-gara cemburu melihat bekas isteri berpakaian cantik, seorang penganggur didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan wanita itu, minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Teoh Shu Yee membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Mohamad Nazri Zainal, 28, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menumbuk pipi bekas isterinya berumur 25 tahun di sebuah rumah di Kondo Beverly Hills A Famosa Resort, Simpang Empat dalam daerah Alor Gajah, kira-kira pukul 8.21 malam pada 15 Mei 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh tinggal menumpang di rumah bekas isterinya sejak 31 Mac lalu selepas wanita itu kasihan melihat keadaan tertuduh yang tidak bekerja.
Tertuduh yang telah dua tahun bercerai bertindak mencederakan mangsa kerana cemburu melihat bekas isterinya berpakaian cantik ketika hendak keluar rumah.
Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kecederaan dialami mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda rendah diberikan dengan alasan tidak bekerja dan menanggung dua anak yang masih kecil.
Mahkamah menjatuhkan denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah memberi kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira pukul 9.30 pagi, 16 Mei 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan denda RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi tiga tahun, mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,600 dan menetapkan 29 Julai ini untuk serahan laporan patologi.


































