Noraizat Nordin melakukan libasan ketika berdepan Myanmar pada aksi separuh akhir acara beregu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini.- Gambar- Amir Khalid
KUALA LUMPUR: Gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin mara ke final dalam acara beregu di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila berjaya menumpaskan Myanmar 15-10, 17-16, sebentar tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam aksi di Stadium Titiwangsa itu, Malaysia bermain cukup baik pada set pertama hasil kawalan bola kemas daripada Aidil Aiman dan penyudah berbisa Noraizat atau lebih dikenali sebagai ‘Ijat Bangau’.
Pada set kedua, Malaysia memimpin perlawanan, namun Myanmar memperkemaskan rentak pada sehingga berjaya mendahului pada saat-saat akhir sebelum kesilapan sendiri menghukum mereka.
“Alhamdulillah kemenangan berpihak kepada kami malam ini, Aidil Aiman dapat mengawal permainan dengan baik dan kami tidak terpengaruh dengan psikologi pihak lawan. Alhamdulillah mental kami kuat.
“Sekarang, fokus kami beralih kepada pentas final esok bertemu Thailand. Kami akan buat sehabis baik esok untuk banggakan rakyat Malaysia. Terima kasih kepada penyokong yang dalam malam ini,” kata Noraizat.
Kemenangan itu menyaksikan duo Malaysia itu menempah pertemuan dengan ‘raja’ sepak takraw dunia, Thailand di pentas final selepas skuad Gajah Perang itu menewaskan Indonesia 15-8, 15-13 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

































