Armizan Mohd. Ali melihat harga barangan selepas mengadakan sidang akhbar pengumuman Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa 2024 di sebuah pasar raya di Nilai, Seremban hari ini.
SEREMBAN: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 akan dilaksanakan berkuat kuasa mulai Jumaat ini sehingga 19 April depan yang melibatkan sebanyak 22 jenis barangan.
Menurut Utusan Malaysia, barangan yang diwartakan dalam skim berkenaan terdiri daripada tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing), kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang kuning besar dan kelapa biji.
Turut disenaraikan kembung serta ikan mabung, daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang (harga maksimum di Semenanjung sahaja), daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja) dan daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan sehari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.
Menurutnya, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi.
“Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara juga akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di sebuah pasar raya di Nilai di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai ayam yang tidak disenaraikan dalam skim berkenaan, katanya, daripada segi pemantauan berkenaan dengan harga ayam dan maklumat diterima daripada KPKM, bekalan ayam adalah mencukupi.
“Kita lihat bahawa harga ayam di pasaran stabil di mana ia lebih rendah daripada kita melaksanakan harga maksimum untuk ayam dalam tempoh 20 bulan.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat kenaikan harga ayam secara keterlaluan dan tidak wajar walaupun tidak dimasukkan dalam skim tersebut aduan boleh disalurkan kepada penguat kuasa. Maklumat yang diperoleh kemudian akan dilakukan siasatan dengan segera untuk kita membuka kertas siasatan” katanya.
Dalam pada itu, dalam perkembangan berlainan, Armizan berkata berdasarkan statistik Op Pantau bagi memantau aktiviti perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal dari 12 Mac sehingga Isnin lalu, sebanyak 32,348 premis telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 146 kes dibuka membabitkan pelbagai kesalahan selain menerima 1,030 aduan dan telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM19,100,” katanya.


































