Kes selesema burung di ladang lembu tenusu di AS meningkat sejak minggu lalu.
AUSTIN: Seorang individu di Texas diuji positif selesema burung selepas bersentuhan dengan lembu tenusu yang dijangkiti, sekali gus meningkatkan kebimbangan global virus tersebut semakin merebak kepada spesies baharu.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai kesihatan negeri berkata, pesakit itu mengalami mata merah selepas bersentuhan dengan lembu yang sakit.
“Pesakit melaporkan kemerahan mata yang konsisten dengan konjungtivitis namun semakin pulih. Pesakit itu sedang dirawat dengan ubat antivirus dan menjalani kuarantin sehingga kembali sihat sepenuhnya,” kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Sejak minggu lalu, virus itu mula dikesan pada lembu tenusu di beberapa negeri, termasuk Texas, Kansas dan Michigan.
Kes manusia pertama selesema burung H5N1 di AS berlaku pada tahun 2022 di Colorado, apabila individu itu jatuh sakit selepas pendedahan langsung kepada ayam yang dijangkiti.
Menurut CDC, virus itu boleh menyebabkan gejala ringan seperti jangkitan pernafasan atas dan mata hingga masalah kronik seperti radang paru-paru yang boleh membawa maut.
Pakar bimbang dengan peningkatan bilangan mamalia yang dijangkiti strain H5N1 semasa, Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) dan potensinya untuk merebak dari mamalia ke mamalia, walaupun kes dalam kalangan manusia masih sangat jarang berlaku.
“Jika kita mendapati kumpulan jangkitan berterusan dalam lembu, bermakna kita perlu mula mengawasi ternakan dan itu akan menjadi perubahan besar kepada cara kita berfikir tentang virus ini,” kata Ahli Patobiologi Sekolah Perubatan Veterinar Universiti Pennsylvania, Louise Moncla.
CDC menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan pendedahan kepada haiwan yang sakit atau mati termasuk burung liar, ayam dan lembu.
Agensi itu juga turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil produk daging mentah atau tidak dimasak sepenuhnya termasuk susu dan keju yang tidak dipasteur.