MANILA: Berpuluh-puluh sekolah di Manila, Filipina menggantung kelas secara bersemuka berikutan tahap gelombang panas berbahaya yang melanda negara itu, lapor pegawai pendidikan.
Menurut Utusan Malaysia, indeks haba yang mengukur paras suhu dengan mengambil kira kelembapan dijangka mencapai tahap bahaya 42 darjah Celsius hari ini dan 43 darjah Celcius esok.
Sekolah rendah dan menengah di Quezon, bahagian paling ramai penduduk di bandar itu diarah ditutup manakala sekolah di kawasan lain diberi pilihan oleh pegawai tempatan untuk beralih kepada pembelajaran jarak jauh.
Sesetengah sekolah memendekkan waktu kelas untuk mengelakkan bahagian paling panas pada hari tersebut.
Menurut badan kaji cuaca dalam satu kenyataan, indeks haba 42 darjah Celsius hingga 51 darjah Celsius boleh menyebabkan kekejangan dan keletihan dengan strok haba kemungkinan boleh berlaku jika pendedahan berterusan.
Jurucakap jabatan pendidikan wilayah, Rea Halique berkata, beberapa kawasan di selatan pulau Mindanao turut menggantung kelas secara bersemuka atau memendekkan waktu sekolah selama dua minggu.
Arahan itu menjejaskan ratusan sekolah di wilayah Cotabato, Cotabato Selatan, Sultan Kudarat, General Santos dan Koronadal.
Lapor peramal negeri, bandar Cotabato mengalami indeks haba tertinggi di Mindanao, mencecah 42 darjah Celsius pada Isnin dan Selasa.


































