Jersi nombor 44 pasukan bola sepak Jerman keluaran Adidas yang mencetus kontroversi.
BERLIN: Adidas menarik balik penjualan jersi nombor 44 pasukan bola sepak Jerman selepas media membangkitkan persamaannya dengan simbol yang digunakan oleh unit separa tentera SS Nazi era Perang Dunia Kedua.
Menurut Utusan Malaysia, kit yang baharu dikeluarkan itu juga menimbulkan kontroversi dengan pilihan warna merah jambu untuk warna lawan.
“Kami sudah menarik balik penjualan jersi dengan nombor tersebut dan melarang sebarang pesanan daripada pelanggan,” kata jurucakap Adidas.
Isu simbolisme pertama kali dibangkitkan oleh Ahli Sejarah, Michael König yang berkata, reka bentuk jersi itu sangat menyinggung dan mencetus tanda tanya.
Pasukan Rune SS dibentuk pada tahun 1929 dan bertanggungjawab terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Nazi termasuk mentadbir kem di mana berjuta-juta orang Yahudi serta individu lain dihukum mati.
Jurucakap Adidas, Oliver Brüggen menafikan persamaan jersi itu dengan simbol Nazi adalah disengajakan.
“Kami sebagai sebuah syarikat komited untuk menentang xenofobia, anti-Semitisme, keganasan dan kebencian dalam sebarang bentuk,” katanya.
Dalam catatan di laman X, Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) berkata, rekaan baju itu sudah diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Eropah (UEFA) untuk semakan proses reka bentuk dan tiada mana-mana pihak yang terlibat melihat sebarang kedekatan dengan simbolisme Nazi.
Jelas badan induk bola sepak Jerman itu, pihaknya kini sedang mencari reka bentuk alternatif untuk nombor 4 bersama rakan kongsinya, 11teamsports.

































