Kim Pan Gon masih mempunyai kontrak mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tahun depan.
PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon masih relevan dan wajar diberikan peluang untuk terus membimbing skuad kebangsaan.
Dalam masa sama, Pan Gon juga wajar membuktikan dirinya memiliki magis tersendiri dan seorang jurulatih yang tidak pernah takut untuk berdepan ujian sukar.
Menurut Utusan Malaysia, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, beliau dia tetap yakin yang Pan Gon masih memiliki sentuhan ajaib malah penyokong juga menaruh harapan besar kepadanya.
“Kita semua pun sukakan dia kerana dia sudah berjaya naikkan bola sepak Malaysia. Saya yakin sentuhan dia masih lagi boleh diguna pakai buat Harimau Malaya malah pemain juga cukup selesa dengannya.
“Jadi dia patut habiskan tugasan dia sekarang kerana saya juga yakin peminat sedang menanti sentuhan ajaib daripadanya. Saya masih yakin yang Pan-gon masih ada semua itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, media melaporkan spekulasi mengatakan Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta pampasan tiga bulan gaji sekiranya kontrak mereka ditamatkan lebih awal berbanding perjanjian asal sehingga 2025.
Khabar ini menjadi satu kejutan besar buat arena bola sepak tanah air memandangkan Harimau Malaya sedang diuji selepas alami dua kekalahan berturut-turut kepada Oman pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Bagaimanapun, Pan Gon dalam satu kenyataan menafikan beliau menghantar surat berkenaan dan menyatakan akan terus komited untuk membimbing Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir.
Dalam masa sama, Azlan juga akui Pan Gon ada hak untuk menentukan masa depannya namun jurulatih itu harus menjelaskan secara terperinci sekiranya ambil keputusan meninggalkan Malaysia.
“Di awal dulu, dia katakan dia datang ke Malaysia disebabkan ‘Ekor Harimau Malaya’, jadi timbul juga tanda tanya kenapa selepas empat perlawanan terakhir ini dia begitu kecewa. Jadi dia kena luahkan hal sebenar dengan sejelas-jelasnya.
“Kalau dia ada tawaran dari tempat lain, kita tidak boleh sekat kalau dia mahu pergi. Kalau benar dia mahu pergi, dia kena jelaskan benda yang betul disebalik hasratnya itu,” katanya.






























