Ulasan negatif terhadap produk puri tomato yang dibuat Chioma Okoli di laman Facebook.
ABUJA: Seorang wanita Nigeria bakal berdepan hukuman penjara tujuh tahun atas dakwaan melanggar undang-undang jenayah siber negaranya gara-gara menyiarkan ulasan negatif dalam talian terhadap produk puri tomato keluaran sebuah syarikat tempatan.
Pada September tahun lalu, Chioma Okoli, 39, menggunakan laman Facebook untuk menyuarakan pendapatnya tentang satu tin puri tomato yang dibelinya, mendakwa ia mengandungi terlalu banyak gula selain meminta rakan serta pengikutnya menyatakan pendapat mereka tentang produk itu.
Siaran Okoli kemudian tular dan mendapat lebih 3,000 komen, termasuk daripada seorang wanita yang mendakwa sebagai kakak kepada pengasas Erisco Foods Limited, syarikat yang mengeluarkan puri tomato tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Okoli diminta tidak lagi menghina produk tersebut tetapi dia terus membalas komen dan menyuruh wanita itu untuk meminta abangnya berhenti menipu pengguna dengan produknya.
Pada 24 September tahun lalu, semasa berada di gereja di Lagos, Okoli ditahan kerana didakwa memfitnah Erisco Foods Limited di bawah Seksyen 24 (1) (B) Akta Larangan Jenayah Siber Nigeria.
Wanita itu terpaksa bermalam di lokap selama sehari sebelum diterbangkan ke Abuja dan dibebaskan dengan jaminan pentadbiran.
Erisco Foods Limited kemudian memfailkan saman berjumlah 5 bilion naira (RM18.11 juta) terhadap Okoli mendakwa publisiti buruk itu menyebabkan masalah serius seperti kehilangan beberapa pembekal dan saluran kredit.
Wanita itu dilaporkan turut memfailkan saman terhadap polis Nigeria serta syarikat berkenaan, meminta 500 juta naira (RM1.8 juta) sebagai ganti rugi.
Kerana menyuarakan pendapatnya di media sosial, Okoli kini berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda 7 juta naira (RM25,357), atau kedua-duanya sekali dan kes itu dilaporkan akan dibicarakan di mahkamah pada 18 April ini.






























