Hajiji (lima dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd. Yaakob.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengalu-alukan peranan profesion kejuruteraan dalam menyokong usaha merealisasikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau berkata, pihaknya berasa gembira dengan kesiapsiagaan serta komitmen yang ditunjukkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam mencapai visi pembangunan tersebut.
Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi IEM Sabah yang diketuai oleh pengerusinya Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar di Menara Kinabalu pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, IEM Sabah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sokongan berterusan terhadap program-programnya, khususnya Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (CAFEO) yang diadakan di Kota Kinabalu pada Oktober 2024.
Mohd. Yaakob dijadualkan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi IEM Sabah pada Jun tahun ini dan akan digantikan oleh Timbalan Pengerusi semasa, Ir. Tan Kok Jyh.




























