KOTA KINABALU: Seramai 30 usahawan inap desa di seluruh Sabah menyertai Program Latihan dan Bimbingan Perseorangan Bumiputera INSKEN (BANGKIT): Eco-Tourism Sabah 2026 selama tiga hari bermula kelmarin di The Palace Hotel di sini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, ini merupakan program pertama daripada tiga program kerjasama kementeriannya dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) pada tahun ini.
“Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah bekerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi melaksanakan tiga program BANGKIT di Sabah sepanjang tahun ini.
“Program BANGKIT INSKEN Sabah 2026 ini adalah inisiatif pembangunan usahawan oleh INSKEN dengan kerjasama strategik MINDET dalam usaha memperkasa usahawan tempatan ke tahap yang lebih kompetitif, mampan dan berskala.
“Program ini memberi fokus kepada pembangunan usahawan melalui pendekatan latihan intensif dan bimbingan berstruktur oleh pakar industri iaitu Datuk Jeffry Ayah @ Datuk Cobra, pengusaha Misompuru Homestay, Kudat” katanya selepas menghadiri sesi Meet & Greet usahawan-usahawan peserta Program Latihan dan Bimbingan Perseorangan Bumiputera INSKEN (BANGKIT) Sabah bagi kluster eko-pelancongan, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, dalam sesi tersebut beliau turut berkongsi mengenai inisiatif pembangunan keusahawanan, perindustrian dan pengangkutan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah melalui MINDET, termasuk penyelarasan dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.
“Saya berharap Program BANGKIT ini dapat membantu memacu usahawan-usahawan eko-pelancongan ini untuk terus berjaya. Saya doakan kejayaan semua,” katanya.
Ewon berkata, Program BANGKIT Sabah 2026 memberi fokus kepada tiga sektor iaitu eko-pelancongan, pencipta kandungan (content creator) untuk perniagaan digital dan makanan dan minuman (F&B), bertujuan meningkatkan ilmu dan kemahiran keusahawanan, produktiviti serta daya saing usahawan.
Selain itu, katanya, program berkenaan juga bertujuan membantu usahawan scale-up perniagaan, memperkasa usahawan mikro secara berstruktur serta memberi pendedahan praktikal berimpak tinggi.
Program BANGKIT ini dilaksanakan selama tiga bulan dengan pendekatan menyeluruh merangkumi tiga fasa, iaitu fasa pertama bengkel intensif selama tiga hari.
Fasa kedua ialah coaching one-on-one iaitu bimbingan individu bersama industry coach yang memberi fokus kepada situasi sebenar perniagaan peserta serta pemantauan pelaksanaan strategi.
Fasa ketiga pula adalah pendedahan praktikal melalui lawatan industri dan aplikasi terus dalam perniagaan.




























