KOTA MARUDU: Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.6 Bandau Kali Ke-41 hari ini, menyaksikan dua usul penting dibentangkan bagi memperkukuh hala tuju dan kestabilan parti di peringkat Pusat.
Bahagian itu, yang kini dipimpin oleh Ketua Bahagian, Christoper Mandut, telah mengemukakan usul supaya tiada pertandingan diadakan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan PBS di peringkat Pusat kali ini.
Sehubungan itu, perwakilan Bahagian Bandau turut menyatakan sokongan penuh kepada Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam sebagai Presiden PBS, manakala Datuk Joniston Bangkuai dicadangkan sebagai Timbalan Presiden.
Menurut kenyataan yang dibentangkan, usul tersebut mencerminkan hasrat akar umbi untuk mengekalkan kestabilan kepimpinan parti, memperkukuh perpaduan dalaman serta memastikan kesinambungan perjuangan PBS demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
Usul berkenaan telah dicadangkan oleh AJK Induk, Kosman Sura dan disokong oleh Sabaruddin Samba.
Dalam masa sama, mesyuarat turut meluluskan satu lagi usul agar Christoper dipilih sebagai calon Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Usul tersebut dicadangkan oleh Ketua Pemuda Bahagian, Rasli Kamarudin dan disokong oleh Ketua Wanita Bahagian, Christina Meabin.
Terdahulu, Christoper yang juga Ketua Exco Pemuda PBS Pusat, telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian PBS Bandau dalam pemilihan itu, manakala beberapa jawatan lain menyaksikan pertandingan.
Daripada keseluruhan 99 cawangan di Bahagian Bandau, sebanyak 73 cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing, sekali gus menunjukkan tahap komitmen dan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat akar umbi.
Persidangan tersebut turut menyaksikan kehadiran seramai 100 orang perwakilan yang mengambil bahagian dalam mesyuarat peringkat Bahagian.






























