Dr. Rosmahwati bersama rombongan Permata Tijarah Sabah bergambar kenangan selepas kunjungan hormat di SICC, kelmarin.
KOTA KINABALU: Golongan usahawan Sabah disaran untuk terus memperkukuh kreativiti, mempelbagaikan produk serta memahami kehendak pasaran semasa bagi memastikan perniagaan mereka kekal relevan dan berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah International Convention Centre (SICC), Datuk Dr. Rosmahwati Lasuki berkata, usahawan perlu sentiasa peka terhadap perubahan trend pengguna dan berani meneroka idea baharu dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat rombongan Persatuan Muslimah Tijarah Sabah (Permata Tijarah Sabah) di SICC di sini, kelmarin.
Rombongan tersebut diketuai oleh Penasihat Permata Tijarah Sabah, Datin Wahida Mardiana Norsalim dan Presiden Permata Tijarah Sabah, Ruhayah Yunus.
Turut hadir Timbalan Presiden, Haninah Abubakar Titingan; Setiausaha, Datin Sabariah Katjo; Bendahari, Hindun Abubakar Titingan serta ahli-ahli jawatankuasa persatuan.
Rosmahwati berkata, kepelbagaian produk amat penting terutama dalam penganjuran ekspo dan pameran keusahawanan bagi mengelakkan lambakan produk yang sama sehingga menjejaskan peluang jualan peserta.
“Usahawan perlu membuat kajian terhadap kehendak pengguna dan trend pasaran semasa. Kreativiti serta inovasi adalah antara faktor utama yang mampu membezakan sesuatu produk daripada produk lain di pasaran,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sektor makanan dan minuman menawarkan peluang yang luas kepada usahawan untuk menghasilkan produk yang unik dan berbeza daripada kebiasaan.
Katanya, produk yang mempunyai identiti tersendiri lebih mudah menarik perhatian pengguna dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Dalam pada itu, Rosmahwati berkata, industri kopi kini berkembang pesat dan bukan lagi sekadar minuman harian, malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.
“Pengusaha kopi perlu menonjolkan identiti tersendiri sama ada melalui kualiti biji kopi, konsep perniagaan atau pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan. Keunikan inilah yang mampu menarik perhatian pengguna,” katanya.
Menyentuh mengenai penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan, beliau berkata, ramai belia kini lebih cenderung menceburi bidang penciptaan kandungan digital kerana dilihat mampu menjana pendapatan secara lebih cepat dan fleksibel.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa bidang keusahawanan masih mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh generasi muda dan perlu terus diperkasakan melalui pendedahan, latihan serta sokongan yang berterusan.
Menurutnya, usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda perlu digerakkan secara bersepadu agar mereka melihat keusahawanan sebagai satu kerjaya yang berdaya maju dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berharap kunjungan tersebut dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara SICC dan Permata Tijarah Sabah dalam memperkasakan usahawan wanita serta memperluaskan peluang perniagaan di Sabah.




























