Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Dr Rosmawati sambil disaksikan ahli jawatankuasa MPWS selepas kunjungan hormat tersebut.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu lebih banyak program pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan diperkenalkan bagi memperkasa wanita di Sabah.
Beliau memuji Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) atas kerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), dalam memperjuangkan program pemerkasaan wanita.
“Saya mahu melihat lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan menerusi program yang dianjurkan oleh MPWS,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi MPWS yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Rosmawati memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai program MPWS yang memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan dan pembangunan kepimpinan.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah program kepimpinan Global Women @ Sabah (Glow@Sabah) yang bertujuan mengenal pasti wanita berpotensi dan membimbing mereka mencapai potensi sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan kepada Hajiji mengenai sambutan Hari Wanita Negeri yang akan dianjurkan oleh MPWS pada 9 September tahun ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi, Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan, Setiausaha merangkap Pengarah JHEWA, Haslina Ismail serta ahli jawatankuasa MPWS.






























