Jamawi bersalaman dan menyantuni penduduk kampung ketika memasuki dewan.
NABAWAN: Isu berlarutan hampir enam dekad membabitkan skim penempatan tanah di Nabawan kini diberi perhatian serius apabila satu jawatankuasa pembangunan diaktifkan semula bagi mempercepat penyelesaian berkaitan pemilikan, pembangunan dan hak penduduk.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu diputuskan dalam sesi dialog bersama penduduk yang diadakan di Dewan serbaguna Majlis Daerah Nabawan, hari ini.
Beliau berkata, skim berkenaan telah wujud sejak lebih kurang 58 tahun lalu dan digazetkan seawal 1958, namun masih terdapat pelbagai isu yang belum diselesaikan sehingga kini.
“Susulan daripada soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan pada sidang DUN lalu, kawasan ini perlu diberi perhatian dan dibangunkan, termasuk menunaikan janji-janji berkaitan pemberian geran tanah,” katanya.

Jamawi (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan semua yang hadir.
Menurutnya, hasil dialog tersebut mendapati banyak perkara perlu diselesaikan, khususnya berkaitan pemilikan tanah, pembangunan kawasan serta hak penduduk yang berpindah dari kampung asal sejak 1960-an tetapi masih belum ditunaikan sepenuhnya.
Jamawi berkata, pada asalnya kawasan itu diamanahkan kepada kementeriannya untuk dibangunkan di bawah Lembaga Padi Negeri Sabah, namun pelaksanaannya memerlukan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh.
“Saya datang ke sini untuk mendengar sendiri keluhan, cadangan dan pandangan masyarakat bagi membolehkan kementerian membantu mereka secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa pembangunan skim Nabawan yang telah lama ditubuhkan kini diaktifkan semula, dipengerusikan Pegawai Daerah serta diselaraskan bersama ADUN Nabawan.
Katanya, jawatankuasa itu akan mengumpul semua cadangan dan memorandum yang diterima, memperhalusi setiap perkara sebelum dikemukakan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.
“Di pihak kementerian, kita akan membantu sebaik mungkin berdasarkan cadangan daripada pihak daerah, pimpinan tempatan dan masyarakat kampung termasuk wakil Ketua Anak Negeri, ketua kampung serta ketua daerah,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan susulan akan diambil bagi memastikan hak penduduk di kawasan itu dapat dipenuhi selepas melalui proses penilaian di peringkat daerah.

Jamawi (duduk, dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan selepas mendengar taklimat yang diadakan di Pejabat Daerah Tenom.
Dalam pada itu, Jamawi turut memberi perhatian terhadap tanah-tanah yang telah digazetkan tetapi masih belum dibangunkan, termasuk kawasan yang dikenal pasti sebagai tanah KPD dan lain-lain kategori.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan memastikan amanah ini dilaksanakan dengan sebaiknya untuk membangunkan kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, pembangunan tanah tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan ekonomi setempat, malah membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua, ketiga dan keempat penduduk di Nabawan.
Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan hasrat wakil rakyat serta pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kebajikan masyarakat di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, Jamawi menjelaskan kementerian telah menggariskan beberapa fokus utama termasuk aspek keterjaminan makanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Katanya, antara komoditi yang diberi tumpuan ialah pengeluaran beras, tanaman padi dan jagung yang masih mencatat kadar sara diri yang rendah.
“Sebagai contoh, tahap sara diri bagi jagung ketika ini hanya sekitar 2 peratus, jadi kita memerlukan lebih banyak kawasan tanah untuk dibangunkan bagi tanaman ini,” katanya.
Beliau yakin Nabawan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian berskala besar yang mampu menyumbang kepada bekalan makanan negeri.
Tambahnya, kementerian juga telah memperoleh beberapa peruntukan bagi melaksanakan pembangunan pertanian secara mekanisasi menggunakan teknologi moden.
“Pendekatan mekanisasi ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengeluaran, malah mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara kementerian, kepimpinan tempatan dan masyarakat dapat merealisasikan pembangunan lebih teratur serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar di Nabawan.
Hadir sama ADUN Nabawan; Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; mantan ADUN Nabawan, Senator Datuk Bobbey Suan; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ts. Jifrin Hj. Mohamad; Pegawai – pegawai dari Jabatan Tanah Dan Ukur.
Dalam program berasingan Jamawi menghadiri taklimat berfokus kepada jalan-jalan di Daerah Tenom dan isu-isu berkaitan pembangunan JKR Tenom di bilik mesyuarat Padas, Pejabat Daerah Tenom yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah, Alexander Liew dan Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas.






























