Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Pembentukan jajaran politik baharu membabitkan Warisan, STAR dan KDM menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) didakwa dibentuk bukan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, sebaliknya sebahagian daripada percaturan bagi merebut kuasa di peringkat negeri dan Persekutuan.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, pengumuman Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter mengenai penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pembentukan ‘Blok Borneo’ bersama Warisan serta STAR adalah satu lagi “drama politik” yang menggelikan hati.
Beliau berkata, alasan tindakan itu kononnya bagi memberi isyarat kepada akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU16 menimbulkan persoalan mengenai matlamat sebenar jajaran berkenaan.
“Sesiapa yang membaca berita ini dengan fikiran yang waras, tidak tahu sama ada mahu menangis atau ketawa melihat gelagat pemimpin politik yang sekejap ke kiri, sekejap ke kanan demi mencari talian hayat peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Aksyah berkata, naratif KDM kononnya “menarik diri daripada GRS” juga mengundang persoalan kerana parti itu tidak pernah menjadi parti komponen GRS, seperti yang dijelaskan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali.
“Bagaimana sebuah parti boleh mendakwa dengan megah bahawa mereka keluar daripada sebuah gabungan, sedangkan mereka tidak pernah pun diterima menjadi ahli komponen gabungan tersebut?” katanya, menyifatkannya seperti “tetamu yang tidak diundang, tiba-tiba menjerit mengumumkan dia mahu keluar dari rumah orang”.
Mengulas pendirian ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman, Aksyah berkata, keputusan wakil rakyat KDM itu untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menunjukkan wujud perbezaan pendirian antara kepemimpinan parti dan wakil rakyatnya.
“Rusdin adalah ADUN tunggal KDM di DUN Paginatan, dengan tegas mengumumkan komitmennya untuk kekal menyokong penuh kerajaan pimpinan Hajiji demi memastikan kestabilan dan agenda pembangunan rakyat di kawasannya tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata, pendirian Rusdin membuktikan keputusan penarikan sokongan itu tidak semestinya menggambarkan pendirian keseluruhan wakil rakyat KDM, sambil memberi pengecualian kepada ADUN berkenaan yang juga Pengerusi Sabah Credit.
Pada masa sama, Aksyah mempersoalkan kedudukan Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang menurutnya menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA) pada April lalu, namun kini berada dalam jajaran politik bersama Warisan dan KDM.
“Nampak jelas, bahawa DJK hanya mahu menikmati segala gaji, elaun gergasi, dan kemudahan logistik daripada dana serta struktur kerajaan GRS, tetapi pada masa yang sama sibuk mengatur caturan di bawah meja bersama Mohd. Shafie untuk menjatuhkan Kerajaan,” dakwanya.
Menurutnya, percaturan berkenaan menunjukkan apa yang disifatkannya sebagai politik “makan tebu kedua-dua belah”, iaitu menikmati kedudukan dalam Kerajaan sambil bergerak untuk menentangnya.
Aksyah mendakwa matlamat utama pembentukan jajaran itu juga adalah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin kerusi Parlimen pada PRU16 dan seterusnya muncul sebagai “King Maker” dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Apabila mereka merasakan jumlah kerusi mereka cukup besar untuk berlagak sebagai ‘King Maker’ di Putrajaya dalam membentuk Kerajaan Pusat, mereka akan menggunakan kedudukan tersebut sebagai modal ugutan politik gergasi,” katanya.
Beliau mendakwa strategi itu berpotensi digunakan untuk meletakkan syarat kepada gabungan di Putrajaya supaya kerajaan negeri pimpinan GRS ditukar sebagai pertukaran sokongan membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Inilah yang dinamakan operasi ‘menebuk atap’ gaya baharu yang dirancang dari Putrajaya untuk merampas kuasa di Kota Kinabalu secara tidak demokratik. Fakta sejarah tidak menipu, tabiat lama tebuk atap tahun 2018 kini mahu diulangi lagi,” katanya.
Aksyah berkata, rakyat Sabah tidak mudah terpengaruh dengan slogan politik, sebaliknya mampu menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri termasuk usaha memperkukuh kedudukan kewangan Sabah, dengan rizab negeri menghampiri RM9 bilion di bawah pentadbiran Hajiji.
“Slogan pejuang negeri boleh dilaungkan seribu kali, tetapi rakyat bawah tidak bodoh untuk membezakan antara pemimpin yang betul-betul bekerja membina rizab kewangan menghampiri RM9 bilion di bawah Hajiji, dengan sekumpulan politikus oportunis yang hanya tahu merancang formula pemerasan kuasa,” katanya.
Beliau berkata, rakyat kini mahukan kestabilan ekonomi dan kesinambungan pembangunan, bukannya siri perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
“Cukuplah melakonkan watak Guru Besar yang suci sekiranya tangan sendiri penuh dengan rekod moral politik yang rapuh lagi penuh kegagalan. Rakyat Sabah hari ini mahukan kestabilan ekonomi, bukannya siri drama perebutan kuasa yang tidak berkesudahan,” katanya.






























