Anwar Ibrahim
MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Perpaduan menganaktirikan negeri-negeri tertentu, sebaliknya berkata jumlah peruntukan yang disalurkan kepada negeri-negeri mencatatkan peningkatan ketara.
Menurut Bernama, beliau berkata, perbelanjaan untuk Sabah meningkat 35 peratus dalam tempoh tiga tahun, daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM17.6 bilion pada 2026, manakala Sarawak menerima RM9.7 bilion.
Bagi negeri-negeri lain, peruntukan turut dinaikkan termasuk Terengganu daripada RM6 bilion kepada RM8 bilion, Johor daripada RM10.2 bilion kepada RM14.6 bilion dan Negeri Sembilan daripada RM4.4 bilion kepada RM6 bilion.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini.
Beliau turut menyifatkan naratif negatif yang mendakwa kutipan cukai tinggi tetapi pulangan yang diterima tidak adil, khususnya di Kelantan, sebagai tidak benar.
Menurut beliau, terdapat kelompongan dari aspek komunikasi dan penerangan yang menyebabkan pencapaian kerajaan terhadap negeri-negeri berkenaan serta peningkatan ekonomi negara kurang sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Masih ada di Kelantan orang mengatakan Kelantan dianaktirikan. Masih kadang-kadang ada teguran di Sabah bahawa seolah-olah kita ini langsung tidak mempedulikan. Jangan salah mereka. Harus, walaupun kita tahu ada yang kadang-kadang niatnya tidak baik. Tapi kita harus senaraikan,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa hak dan tuntutan Sabah serta Sarawak kini diangkat secara rasmi sebagai Agenda Nasional dan bukan lagi dilayan sebagai isu sampingan.
“Saya rasa sekali lagi, keperluan kita untuk menyampaikan. Tapi untuk rakan-rakan Sabah dan Sarawak saya nak sebut, apa pun kelemahan kita, inilah parti dan inilah kerajaan pertama kali dalam sejarah yang tidak melihat tuntutan Sabah dan Sarawak itu sebagai tuntutan sampingan.
“It is in the national agenda and we want to succeed as a nation then Sabah and Sarawak must be part of this national building program,” katanya.
Beliau turut menyelar sikap parti-parti politik teras di Semenanjung sebelum ini yang jarang membicarakan hal ehwal Sabah dan Sarawak kecuali apabila menjelang musim pilihan raya.
Anwar pada masa sama menggesa jentera Kerajaan bertindak segera memperbaiki komunikasi dan penerangan bagi menangkis tohmahan pihak lawan serta memastikan pencapaian Kerajaan dapat difahami rakyat di seluruh negara.
































