Haji Hajiji Haji Noor
TUARAN: Perkhidmatan kesihatan perlu terus dipermudah aksesnya kepada masyarakat, khususnya penduduk kampung dan luar bandar yang mungkin berdepan kekangan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, program turun padang seperti Kem Kesihatan Kampung Baru-Baru penting dalam memberi peluang kepada masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan awal, mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat menitikberatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi, sambil menambah bahawa pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting kerana penyakit seperti tekanan darah tinggi dan diabetes boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang ketara pada peringkat awal.
“Oleh itu, kempen kesihatan dan kem perubatan seperti yang diadakan hari ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menjalani pemeriksaan awal. Saya juga percaya prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati perlu terus diterapkan dalam masyarakat kita,” katanya ketika melancarkan Kem Kesihatan Kampung Baru-Baru di balai raya kampung itu, di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ghazali mewakili Ketua Menteri pada majlis berkenaan.
Ketua Menteri turut menghargai komitmen kakitangan Hospital Tuaran yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, selain kerjasama Lembaga Pelawat Hospital Tuaran, pihak hospital, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan diperluaskan ke kampung-kampung lain di seluruh daerah Tuaran,” katanya, sambil menggesa masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, mengamalkan pemakanan seimbang dan memastikan persekitaran sentiasa bersih.
Sementara itu, Hajiji berkata, kesejahteraan dan kebajikan rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran Kerajaan Negeri melalui pelbagai inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk pelaksanaan Rumah Mesra SMJ dan Program SYUKUR bagi membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), termasuk jabatan dan agensinya, turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal dan anak yatim.
Ini termasuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan dan miskin, serta Program Homeward bagi membantu golongan rentan.
Hajiji berkata, pembangunan semua kampung dan kawasan di Sabah, termasuk Tuaran, akan terus diberi perhatian bagi memastikan penduduk menikmati pembangunan yang seimbang dan saksama, termasuk pembangunan asas, kemudahan infrastruktur, peluang ekonomi serta peningkatan kualiti hidup.
“Ini bagi memastikan tiada kawasan atau kampung yang tercicir daripada kemajuan yang dicapai di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Oleh itu, pemimpin di peringkat akar umbi memainkan peranan penting dalam menyelaras agenda di peringkat kampung,” katanya.






























