Julita (empat dari kanan) bersama Rev Christopher (tiga dari kanan) dan jemaah gereja tempatan selepas majlis perasmian.
MATUNGGONG: Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan pembangunan masyarakat luar bandar, termasuk kemudahan asas, jalan raya dan infrastruktur komuniti, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata, pelaksanaan pembangunan perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan keutamaan, keperluan setempat dan kemampuan peruntukan kerajaan.
“Setiap permohonan akan kita teliti dan usahakan secara berfasa supaya pembangunan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Gereja Kampung Tagumamal Darat di sini, kelmarin.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong berkata, antara keperluan yang dibangkitkan termasuk menaik taraf jalan dan penyediaan dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Pendekatan kita adalah memastikan setiap keperluan diteliti melalui saluran yang sewajarnya. Sekiranya tidak dapat dilaksanakan serentak, kita akan melihat keutamaan dan mengusahakannya secara berperingkat,” katanya.
Dalam pada itu, Julita berkata, Kerajaan turut menyediakan beberapa skim perumahan yang boleh dimanfaatkan oleh keluarga yang memenuhi syarat.
Beliau turut mengumumkan kelulusan pembelian sebuah televisyen LED bagi kegunaan Gereja Kampung Tagumamal Darat.
Turut hadir Bishop Rev Christopher Ogondong dan Pengerusi Gereja, Stephen Singkong.






























