David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik majlis pecah tanah Projek MADANI Link atau Sabah Southern Link yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkannya sebagai komitmen strategik yang telah lama dinantikan untuk memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, projek itu amat penting khususnya dalam meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur serta kawasan pedalaman negeri ini.
Menurut beliau, YPNM Sabah berpandangan bahawa projek berkenaan bukan sekadar talian penghantaran elektrik, sebaliknya merupakan nadi kepada masa depan keselamatan tenaga Sabah, pertumbuhan ekonomi, pembangunan perindustrian dan kesejahteraan pengguna.
Katanya, talian penghantaran 275 kilovolt (kV) sepanjang 330 kilometer yang menghubungkan Sipitang dan Tawau akan membantu mengurangkan kebergantungan Sabah kepada laluan penghantaran yang terhad selain meningkatkan kestabilan bekalan elektrik antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Sejak sekian lama, Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan gangguan bekalan elektrik, kekangan sistem penghantaran dan peningkatan permintaan tenaga yang didorong oleh pertumbuhan penduduk, aktiviti komersial serta pembangunan industri.
“Apabila siap kelak, Sabah Southern Link akan menyediakan rangkaian penghantaran yang lebih kukuh dan berdaya tahan bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri secara berterusan serta mengurangkan risiko gangguan bekalan berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
David berkata, YPNM Sabah turut menghargai komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga di negeri ini.
Beliau berkata, projek berkenaan membuktikan bahawa keperluan tenaga jangka panjang Sabah diberi perhatian serius dan selari dengan usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Menurutnya, sektor yang bakal mendapat manfaat termasuk pembuatan, tenaga hijau, taman perindustrian dan industri hiliran yang memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya harap.
Pada masa sama, beliau berkata rangkaian penghantaran yang lebih mantap akan memudahkan integrasi projek tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Katanya, perkembangan itu sekali gus membantu Sabah bergerak ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan pelbagai.
“YPNM Sabah percaya bahawa bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai adalah keperluan asas bukan sahaja kepada sektor perniagaan dan industri, malah kepada isi rumah, sekolah, hospital serta komuniti luar bandar.
“Pengguna akan menikmati manfaat secara langsung melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, pengurangan gangguan bekalan dan peningkatan kualiti hidup,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity serta semua agensi yang terlibat dalam merealisasikan projek berimpak tinggi itu.
Seiring aspirasi Sabah untuk menjadi negeri yang lebih maju dan berdaya saing, David berharap pelaksanaan Projek MADANI Link atau Sabah Southern Link dapat dilaksanakan secara cekap, telus dan mengikut jadual demi manfaat seluruh rakyat Sabah.
“Majlis pecah tanah hari ini merupakan satu detik bersejarah bagi sektor tenaga Sabah. Ia memberikan keyakinan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan Sabah menerima pelaburan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan masa hadapan negeri ini,” katanya.




























