Safiah Ibrahim (berbaju biru) dan Zarina Sinin didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.
KUALA LUMPUR: Dua wanita berusia dalam lingkungan 50-an mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini bagi tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM300,000.
Menurut Utusan Malaysia, mengikut pertuduhan, Zarina Sinin, 54, dan Safiah Ibrahim, 59, didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan bersenjatakan objek seperti pistol dan penyembur lada terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun dan telah mengambil wang tunai berjumlah RM300,000 miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1 petang, 15 Mac lalu di di tepi jalan di Taman Melawati dekat sini.
Pertuduhan ke atas dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, menurut Peraturan 131 Peraturan-Peraturan Penjara 2000, hukuman sebat tidak boleh dikenakan kepada pesalah wanita.
Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan kedua-dua wanita terbabit perlu melapor diri ke balai polis berdekatan pada setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi.
Peguam bela, Muhammad Fadhli M. Sutris yang mewakili Zarina memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 kerana jumlah yang ditawarkan pendakwaan adalah terlalu tinggi.
Safiah yang tidak diwakili peguam pula merayu agar dia dikenakan jumlah jamin yang rendah kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan dan bergantung kepada anak-anaknya.
Hakim Wan Mohd. Norisham selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan, menetapkan wang jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Kedua-dua wanita itu juga diperintahkan untuk melapor diri ke balai polis berdekatan dua kali sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Jun ini bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam bagi Safiah.
Pada 19 Mac lalu, media melaporkan tiga wanita ditahan selepas disyaki terbabit kes samun membabitkan urus niaga emas hingga kerugian RM300,000.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mereka ditahan susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa dirinya diperdaya pada 15 Mac lalu.
Katanya, mangsa bersama rakannya membuat urus niaga berkaitan jongkong emas dengan dua individu di sebuah pusat beli-belah.
Mangsa kemudian diminta menaiki sebuah kereta untuk mengambil emas berkenaan dan didakwa dibawa pusing tiga kali mengelilingi pusat beli-belah terbabit.
Empat lagi suspek datang dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kepala mangsa.
Suspek-suspek kemudian menyembur alat sembur lada ke mata mangsa dan merampas beg mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000 diri dengan menaiki kereta lain.
































