Safar Untong (tiga kiri) dan Bacho Gilong (dua kiri) menyaksikan penyerahan geran projek Mekar daripada Siti Ayu Abdul Wahab (kiri) kepada Tamilsalvi Mari (tiga kanan) semasa majlis buka puasa Petronas di Kota Kinabalu semalam.
KOTA KINABALU: Situasi kemarau di Sabah masih dalam keadaan terkawal biarpun sebuah daerah telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong berkata, keadaan kemarau di negeri ini masih terkawal dan belum sampai kepada tahap serius.
“Walau bagaimanapun, kita perbanyakkan penghantaran air dan menyediakan tangki-tangki di setiap kampung yang terjejas,” katanya selepas majlis berbuka Petronas bersama pemegang taruh, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan kemarau di Sabah selepas daerah Papar diisytihar sebagai kawasan bencana kemarau.
Safar berkata, rancangan kerajaan untuk melaksanakan proses pembenihan awan juga akan cuba dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, cadangan untuk melaksanakan pembenihan awan telah mendapat maklum balas positif daripada kerajaan Persekutuan.
“Maklum balas positif daripada kerajaan Persekutuan, cuma tunggu kesesuaian (awan) sahaja sebab bukan semua jenis awan kita boleh benihkan menurunkan hujan.
“Jadi, kita sedang atur dan Jabatan Meteorologi juga sedang mengenal pasti awan yang sesuai untuk laksana proses pembenihan. Pelaksanaannya akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Pada Rabu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) mengumumkan Papar menjadi daerah pertama di Sabah diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau susulan masalah ketiadaan bekalan air yang menjejaskan lebih 50,000 orang penduduk.
Dalam majlis sama, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Bacho Pilong mengumumkan komitmen mereka untuk meneruskan Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) yang merupakan inisiatif di bawah Yayasan Petronas.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Universiti Taylor akan melaksakan pembinaan sistem tadahan air graviti dan sistem penuaian air hujan di Kampung Tinata Ulu, Kota Belud yang akan memberi manfaat kepada 250 orang penduduk.
Menerusi program Mekar itu, Yayasan Petronas akan turut melaksanakan pemindahan pengetahuan dan kemahiran kepada penduduk setempat bagi membolehkan mereka menyelenggara sistem yang dibina dalam jangka masa panjang.
Jelasnya, itu adalah projek kedua Yayasan Petronas dalam menyediakan bekalan air bersih di Sabah selepas kejayaan projek perintis di Pitas pada 2022 yang membolehkan bekalan air bersih disalurkan kepada 200 penduduk di Kampung Boribi Kanibongan, Kampung Gunsali, Kampung Mapad Kanibongan, Kampung Ranggal, dan Kampung Mangkapon Darat.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab dan Pengarah Program Universiti Taylor, Prof Madya Dr Tamilsalvi Mari.


































