Peserta acara lumba lari kostum T-Rex di bandar Futtsu, Jepun.
TOKYO: Lebih 40 pertandingan lumba lari unik dengan mengenakan kostum T-Rex dianjurkan di seluruh Jepun, menjadikannya salah satu acara perlumbaan yang paling pesat berkembang di negara Asia itu.
Perlumbaan kostum T-rex dipercayai bermula pada 2019, apabila berpuluh-puluh orang yang memakai kostum angin Tyrannosaurus Rex berkumpul di litar lumba Emerald Downs di Auburn, Washington untuk menyertai acara lumba lari.
Aksi lucu itu mendapat perhatian warga net di seluruh dunia, namun acara perlumbaan sedemikian tidak berkembang di Barat seperti yang berlaku di Jepun.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, perlumbaan Tyrannosaurus Daisen pertama kali diadakan di bandar Daisen, Wilayah Tottori pada April 2022 selepas Jepun menarik balik sekatan sepanjang pandemik Covid-19.
Acara itu terbukti sangat berjaya sehingga mengilhamkan trend nasional dengan lebih 40 acara serupa berlangsung di seluruh negara sejak itu.
Berikutan kejayaannya, bandar-bandar di seluruh Jepun mula menganjurkan acara tersebut dengan ramai mengakui jatuh cinta dengan konsep aneh itu hingga membuatkan jualan kostum angin dinosaur berwarna warni turut melonjak.
“Pelari bebas melakukan apa sahaja perkara yang mereka tidak mampu buat sebagai manusia jika mereka semua tyrannosaurus. Tiada apa yang memalukan,” jelas Pengasas Tyrannosaurus Race Daisen, Naoki Kawamoto, 36.
Perlumbaan Daisen kekal sebagai acara paling popular seumpama itu di Jepun dengan edisi terbaharu yang diadakan pada April tahun lalu mengumpulkan lebih 200 peserta di garisan permulaan.

































