Pearly Tan dan M. Thinaah melakar kejutan menewaskan pasangan juara dunia dari China di badminton All England, hari ini.
PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan jaguh No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan kedua badminton All England di Arena Birmingham, England, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan No. 15 dunia tersebut mempamerkan prestasi cemerlang apabila melakar kemenangan straight set 22-20, 21-16 ke atas juara dunia empat kali dari China itu.
Daripada lima pertemuan terdahulu, Pearly-Thinaah tidak pernah menundukkan Qing Chen-Yi Fan dan kemenangan di Birmingham merupakan kejayaan sulung beregu Malaysia itu ke atas pasangan hebat tersebut.
Kemenangan itu juga bermakna Pearly-Thinaah menjejakkan kaki ke suku akhir dan beregu Jepun yang menghuni ranking No. 11 dunia, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto menjadi lawan mereka, selepas ini.
Mara ke suku akhir pada kejohanan badminton tertua itu adalah pencapaian terbaik Pearly-Thinaah yang terkandas di pusingan pertama dalam penyertaan sulung mereka pada tahun lalu.
Beregu wanita negara itu yang terpaksa mengharungi prestasi turun, naik pada tahun lalu dengan kecederaan melanda Pearly, menyaksikan mereka mengalami kemesotan prestasi sehingga menyebabkan kejatuhan ranking daripada kedudukan No. 5 dunia pada awal 2023 kepada tangga ke-15 dunia.
Turut mara ke peringkat lapan terbaik ialah pemain perseorangan, Lee Zii Jia yang menewaskan bekas jaguh dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 21-15, 21-12 di pusingan kedua.
Pemain No. 18 dunia, Lakshya Sen dari India menanti Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia pada suku akhir.
Dalam temu bual oleh BWF selepas perlawanan berakhir, Zii Jia berkata, dia gembira dapat menjejakkan kaki ke suku akhir sekali lagi.
“Esok (hari ini), satu lagi pertarungan sengit, saya rasa tak kira siapa lawan saya nanti, saya akan tetap berikan 100 peratus untuk pertemuan itu.
“Memandangkan semuanya berjalan dengan lancar, saya hanya mahu fokus kepada permainan saya dalam gelanggang selepas terpaksa mengharungi perlawanan yang mengecewakan minggu lalu,” katanya.
Anak kelahiran Kedah itu memberitahu, selepas meneliti kembali aksinya sebelum ini bersama jurulatih, dia berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukannya.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, tiga pasangan negara yang beraksi di peringkat 16 akhir gagal meneruskan kemaraan selepas kecundang di tangan lawan masing-masing.
Beregu No. 25 dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tunduk kepada pilihan kelapan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 17-21, 11-21.
Turut menerima nasib serupa, beregu No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang tewas kepada pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-17, 19-21, 16-21.
Satu lagi gandingan, Goh Soon Huat-Shevon Jemie pula gagal menyaingi kehebatan pilihan keempat, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 12-21, 5-21.

































