KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Amundi dengan menawarkan keuntungan sehingga 1,000 peratus kepada pelabur dalam tempoh 48 jam.
Kegiatan sindiket berkenaan berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dengan penahanan 16 individu dalam operasi khas di Johor dan Sarawak pada 6 dan 7 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 70 tahun itu berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik keldai akaun yang digunakan untuk menipu mangsa.
Katanya, sindiket ini menawarkan pelbagai pakej untuk menarik minat pelabur sebagai contoh pakej ‘basic’ dengan nilai pelaburan RM600 akan mendapat keuntungan RM8,500 dan pakej ‘premium’ nilai pelaburan RM900 dan akan mendapat keuntungan RM15,500.
“Terdapat dua pakej lagi yang menawarkan keuntungan yang sangat tinggi iaitu pakej ‘crown’ dengan nilai pelaburan RM1,800 dan akan mendapat keuntungan RM35,500 serta pane ‘superconquer’ dengan nilai pelaburan RM4,000 dan dijanjikan keuntungan sebanyak RM85,500,”katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Menurut Ramli, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 20 unit telefon pintar pelbagai jenama, satu komputer riba, tiga keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan satu beg silang.
Jelas beliau, sebanyak 15 kertas siasatan sudah dibuka terhadap skim penipuan ini membabitkan nilai kerugian RM166,331.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti ahli sindiket lain yang terbabit dalam skim berkenaan
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.


































