Anwar Ibrahim pada Majlis Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Jerman semalam.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperhalusi dan memberi jaminan isu berkaitan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia akan ditangani kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk membawa usul mengenai pindaan terhadap Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar negara ke Parlimen bulan ini.
“Soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa. Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Parlimen bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada Majlis Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Jerman semalam.
Anwar yang kini mengadakan lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman merupakan pertemuan pertama antara beberapa pemimpin Jerman dan Perdana Menteri.
Jerman adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 2000 manakala rakan perdagangan terbesar bagi negara itu dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Anwar berkata, pindaan terhadap perlembagaan berhubung perkara itu akan menoktahkan isu kebimbangan ibu-ibu Malaysia berkahwin dan melahirkan anak di luar negara.
“Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil Global Bersih mengenai kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kesukaran mengundi pada dua pilihan raya umum lepas.
“Kita perlu mudahkan, antaranya pengundian langsung. Misalnya lebihkan pusat-pusat pengundian, kita ada pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya.
“SPR juga perlu mengkaji langkah mewujudkan pendaftaran secara automatik untuk pengundi Malaysia di luar negara sama seperti yang diamalkan di tanah air,” katanya.


































