Alexander Nanta Linggi semasa menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat semalam.
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu, Jabatan Kerja Raya melaksanakan sebanyak 2,118 projek fizikal pembinaan, setakat 31 Disember tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merangkumi sebanyak 589 projek dalam peringkat pra-pembinaan; 772 projek sedang dalam pembinaan dan 757 projek telah siap.
Bagi projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubahsuai dan Naik taraf (PPUN) pula, beliau berkata, sebanyak 9,349 bilangan kerja bernilai RM3.42 bilion telah dilaksanakan oleh JKR pada 2023.
“Bagi tahun 2023, Jabatan Kerja Raya telah berjaya mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) sebanyak 315 projek dengan nilai RM5.515 bilion.
“Sebanyak 182 projek dengan nilai RM4.63 bilion telah berjaya disiapkan,” katanya semasa menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat semalam.
Pada masa sama, Alexander berkata, hanya 21 projek atau 2.8 peratus berbanding 730 projek dalam peringkat pembinaan pada tahun lepas diklasifikasikan sebagai projek sakit.
Menurutnya, ia menunjukkan jumlah projek sakit hanyalah kecil berbanding projek yang sedang aktif dan telah disiapkan.
“JKR sentiasa memantau projek sakit ini dan mengambil langkah-langkah intervensi untuk menyelamatkan projek-projek ini,” katanya.


































