Wong Kah Woh
KUALA LUMPUR: Sebanyak 375 daripada 1,069 projek sekolah daif sejak 2016 masih belum siap dibaiki dengan 216 daripadanya di peringkat prapembinaan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, projek yang sudah siap dibaiki pula berjumlah 694.
“Saya maklum prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dilaksanakan dan Kementerian Pendidikan melalui KSU (Ketua Setiausaha) telah beri penjelasan dan kerjasama sebaik mungkin supaya PAC dapat buat satu laporan komprehensif dan lengkap.
“Sememangnya berkenaan dengan bilangan bangunan daif dalam sistem kementerian, angkanya akan turun naik yang mana sudah sampai ke skala 6 apabila kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan, maka ia akan diklasifikasikan skala 5 dan sebagainya.
“Ada yang tidak dapat lagi diselenggarakan, maka Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengklasifikasikannya sebagai bangunan daif sekolah itu, namun kementerian komited memastikan kebajikan murid dan sekolah terjaga sepanjang masa,” katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung sama ada isu bajet itu sendiri yang perlu dipohon Kementerian Ekonomi menjadi halangan utama atau kapisiti kementerian sendiri yang belum mencukupi untuk memastikan masalah sekolah daif dapat diselesaikan.


































