Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan akan melakukan siasatan sekiranya wujud kegiatan kartel industri padi dan beras di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihkanya melalui Suruhanjaya Persaingan (MyCC) sentiasa terbuka menerima sebarang maklumat dari semua pihak untuk melakukan penyiasatan berhubung perkara berkenaan.
“Sejak berkuat kuasa Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 bidang kuasa kawal selia berkaitan industri padi negara ini terletak dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Ada isu-isu yang disebut kartel beras, melalui MyCC kita terbuka sekiranya KPKM mempunyai maklumat salurkan kepada MyCC dan kita akan melaksakan penyiasatan tentang aspek tersebut,” katanya kepada pemberita selepas libat urus Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P-KPDN) di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, cadangan mewujudkan Beras Putih Malaysia Madani akan membantu negara dalam menyekat campur tangan kartel terhadap industri beras sekali gus memastikan jaminan kepada bekalan makanan ruji rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Armizan berkata, Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 yang lebih menyeluruh akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini bersekali dengan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 (PTK 2030).
Katanya, dasar itu bakal melibatkan tiga teras iaitu penyertaan rakyat, perundangan dan penguatkuasaan serta pendidikan nilai kepenggunaan.
“DPN pertama dilancarkan pada 2002 dan selepas dua dekat, kita akan melancarkan DPN 2.0 dengan penambahbaikan serta pengukuhan kepada dasar sedia ada.
“Dasar ini berteraskan tiga perkara yang menjadi komponen penting kerana kita mahu DPN 2.0 bukan hanya sekadar menjadi satu dasar kerajaan, sebaliknya digerakkan secara menyeluruh,” katanya.
Armizan berkata, DPN 2.0 juga akan merangkumi penambahbaikan pelbagai aspek melibatkan perundangan agar ia juga dapat melindungi hak serta daya ketahanan pengguna.
“Kita akan melihat dari aspek e-dagang dan kecerdasan buatan (AI) kerana banyak perubahan dari aspek asas ekonomi, bukan sahaja di negara ini, malah dunia,” ujarnya.


































