Dua pengundi wanita melihat calon-calon yang bertanding dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) sebelum mengundi di daerah Kwamki Narama, Papua Tengah semalam.
JAKARTA: Calon presiden yang juga Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto menang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dan Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2024 berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperoleh, semalam.
Keputusan itu berdasarkan kiraan pantas yang dikeluarkan enam institusi yang melakukan tinjauan berdaftar dan ia disiarkan secara maya.
Dalam tinjauan keputusan berkenaan, Prabowo bersama pasangannya Gibran Rakabuming Raka mendahului saingan mereka iaitu Ganjar Pranowo dengan Mahfud MD dan Anies Baswedan dengan Muhaimin Iskandar.
Menurut Utusan Malaysia, kiraan yang dikeluarkan institut tinjauan Penyelidikan dan Pembangunan Kompas menunjukkan, pasangan Prabowo dan Gibran mendahului dengan keputusan 60.27 peratus.
Sementara itu, pasangan calon Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar mengekori dengan keputusan 21.47 peratus manakala Ganjar Pranowo dan Mahfud MD dengan 18.25 peratus undi.
Penyelidikan dan Pembangunan Kompas merupakan satu daripada 83 institusi kaji selidik yang berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).
Institut kaji selidik ini hanya mengambil sampel berdasarkan pengundi dalam negeri dengan jumlah populasi yang digunakan ialah 203,056,748 pengundi.
Lima lagi institusi tinjauan antaranya Lingkaran Survei Indonesia, Charta Politika, Indikator, Poltracking serta Penyelidikan dan Perundingan Politika turut menunjukkan pasangan Prabowo dan Gibran mendahului dengan angka melebihi 58 peratus.
Bagi undian untuk pemilihan Dewan Perwakilan Rakyat ( DPR) pula, kiraan pantas daripada institusi tinjauan menunjukkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului dengan 42.42 peratus.
Semalam, lebih 200 juta pengundi Indonesia yang berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih presiden baharu pada Pilpres yang diadakan serentak dengan Pilihan Pemilu 2024.
Ia disifatkan sebagai pilihan raya sehari terbesar di dunia.
Hampir 205 juta layak mengundi dalam pilihan raya presiden, parlimen dan wilayah dalam tempoh enam jam pengundian.
Pilihan raya itu diadakan di tiga zon waktu, bermula di wilayah paling timur Papua.
Proses pengundian dilaksanakan di lebih 800,000 pusat mengundi di seluruh Indonesia.


































