Mohamed Salah dilihat kembali berlatih bersama Liverpool.
LIVERPOOL: Mohamed Salah kembali menjalani latihan bersama Liverpool buat pertama kali sejak mengalami kecederaan otot ketika mewakili Mesir di Piala Negara-Negara Afrika.
Pemain berusia 31 tahun itu cedera ketika aksi peringkat kumpulan bulan lalu dan terpaksa dihantar pulang ke Kirby dari Ivory Coast untuk menjalani rawatan lanjut.
Rancangan asalnya ialah memastikan Salah pulih sepenuhnya sebelum kembali menyertai Mesir di AFCON sekiranya mereka mara ke perlawanan akhir, namun mereka tewas kepada DR Congo di peringkat 16 terakhir menerusi penentuan penalti.
Menurut Utusan Malaysia, Salah meneruskan proses pemulihannya di Liverpool dan tampil menyertai latihan buat pertama kali semalam menjelang kunjungan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Brentford pada Sabtu ini.
Penyerang Mesir itu kelihatan bersemangat berlatih bersama rakan sepasukan Liverpool, biarpun tewas kepada Arsenal awal bulan ini, mereka masih berada di landasan terbaik untuk merangkul empat trofi musim ini.
Perlawanan terakhir Salah untuk The Reds ialah ketika kemenangan 4-2 ke atas Newcastle pada tahun baharu, yang menyaksikan peledak Liverpool itu meledak dua gol dan melakukan satu umpanan gol.
Skuad kendalian Jurgen Klopp meneruskan rentak kemenangan walaupun tanpa khidmat Salah selepas mara ke final Piala Liga apabila menewaskan Fulham, dan mara ke pusingan kelima Piala FA dengan kemenangan ke atas Arsenal serta Norwich.

































